Kangar: Kerajaan Perlis memohon maaf berikutan terdapat satu persembahan hiburan yang dianggap tidak selari dengan fatwa hiburan di negeri itu semasa Hari Perbarisan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.
Difahamkan, persembahan nyanyian yang berlangsung selepas jam 12 tengah malam itu tidak membabitkan lagu patriotik sebaliknya lebih kepada persembahan santai sehingga terdapat golongan anak muda yang menari tidak tentu arah di hadapan pentas.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, persembahan itu dilakukan demi mengisi masa terluang selepas persembahan formasi dron terpaksa ditunda sebentar berikutan berlakunya masalah teknikal.
"(Peristiwa) berlaku sedikit perkara 'tidak manis' dalam selang masa yang berlaku ketika terjadinya masalah teknikal oleh pihak pengendali dron.
"Dalam selang masa setengah jam itu berlaku nyanyian bukannya lagu patriotik membabitkan tarian dalam kalangan anak muda yang menghadiri sambutan berkenaan.
"Peristiwa ini adalah disebabkan (ruang) masa kosong sementara formasi dron itu dijalankan, jadi saya rasa memanglah ini sesuatu yang saya sendiri terasa agak 'tidak manis' berlaku pada masa itu," katanya.
Katanya, sebagai ketua kerajaan negeri, pihaknya mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku.
"Perkara berkenaan berada dalam luar kawalan kami sebenarnya dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakam setinggi penghargaan kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menegur dan memohon agar keputusan Majlis Fatwa negeri ini berhubung persembahan hiburan diikuti.
"Selain itu juga, teguran daripada netizen juga kita terima dan kita memohon maaf. Mudah-mudahan ia tidak berulang lagi dan semoga ia menjadi pengajaran kepada kami sebagai pentadbir kerajaan negeri ini Insya-Allah," katanya.
Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 11 Jun 2016 lalu mengeluarkan garis panduan bagi sebarang acara persembahan hiburan di negeri ini yang tidak seharusnya mengandungi sebarang anasir bertentangan dengan syarak.
Antara garis panduan berkenaan turut mengkehendaki agar pelaksanaan sebarang acara hiburan hendaklah tidak mendorong kepada sifat dan kelakuan melampau yang merendahkan akhlak mulia insani.