CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1896|Reply: 0

[Kedah] Anak muda digesa kenang pengorbanan pejuang kemerdekaan

[Copy link]
Post time 26-8-2023 01:10 PM | Show all posts |Read mode

MOHAMAD ZIN menunjukkan gambar kenangan semasa bertugas sebagai anggota tentera di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Sambutan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun dirai penuh meriah oleh semua lapisan masyarakat menerusi pelbagai program sambutan.

Bagi anggota ke­selamatan, tarikh itu disambut dengan penuh keinsafan atas pengorbanan pejuang tanah air dalam mempertahankan negara tercinta.

Bagaimanapun seorang pesara tentera, Mohamad Zin Yaacob, 69, berkata, dia melihat sebila­ngan anak muda masa kini tidak menghayati makna sebenar erti pengorbanan generasi terdahulu mempertahankan negara, sebaliknya mereka lebih gemar memeriahkan acara sambutan sahaja.

“Zaman dahulu, kami ­me­ngangkat senjata untuk menjaga negara daripada ancaman komunis dan sanggup berkorban atas rasa tanggungjawab menjadikan negara ini aman.

“Tetapi sekarang generasi muda seolah-olah lupa pengorbanan yang kami curahkan termasuk ada antara anggota tentera yang cedera, malah turut terbunuh dalam peperangan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tempoyak, Bedong di sini semalam.

Kata bapa kepada tiga orang anak itu, dia pernah menyertai pelbagai operasi ketika mula bertugas pada 1972.

Ujarnya, peristiwa yang tidak boleh dilupakan adalah ketika menyertai Op Sungai Pongek di Kuching, Sarawak pada tahun berkenaan.

“Kami 11 anggota dari unit khas peninjau Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Kem Semenggo bertempur de­ngan sekumpulan pengganas komunis. Kami berjaya me­nembak mati dua pengganas komunis.

“Selepas serangan itu, saya dan empat anggota ditugaskan menjaga mayat pengganas komunis terbabit semalaman.

“Kami ketika itu dalam kea­daan letih dan tidak sempat menjamah makanan sebelum dibawa keluar menggunakan helikopter keesokan harinya,” ujarnya.

Ceritanya lagi, pada masa itu, apa yang ada dalam diri mereka ialah semangat untuk mempertahankan tanah air dan tidak langsung mempedulikan keperitan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, dia juga merasai sendiri pengalaman mengejar anggota komunis, memusnahkan kem mereka yang berselindung di sebalik kebun sayur di dalam hutan.

“Tugas yang kami laksanakan ini bukan mudah kerana perlu bermalam di dalam hutan tebal tanpa tidur yang cukup, tidak mandi dan membersihkan diri secara ala kadar.

“Pengorbanan ini dilakukan atas dasar cintakan negara ke­rana ingin menjadikan tanah air ini didiami oleh generasi kemu­dian dalam keadaan aman,” katanya.

Ujarnya, dia menamatkan tugas terakhir sebagai Jurulatih Jasmani di Sekolah Pegawai Kadet Sebatang Karah, Port Dickson Negeri Sembilan pada 1984.

Sehubungan itu, Mohamad Zin mahu generasi muda mempelajari sejarah pengorbanan pejuang tanah air secara mendalam.

“Jika itu dapat dilakukan, semua bekas anggota tentera yang pernah menabur bakti pasti gembira.’

“Ini kerana generasi sekarang mampu menyambung legasi yang ditinggalkan demi mempertahankan negara tercinta,” katanya.
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... ejuang-kemerdekaan/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-2-2025 08:39 PM GMT+8 , Processed in 0.048656 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list