|
Mauricio Pochettino memeluk Raheem Sterling ketika pemain itu digantikan pada babak kedua aksi Liga Perdana Inggeris menentang Luton Town di Stamford Bridge, London awal pagi tadi. – Foto AFP
LONDON: Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memuji Raheem Sterling dan berkata penyerang England itu berhak mendapat "kredit penuh" kerana kembali menemui prestasi terbaik selepas dua golnya membantu kemenangan 3-0 ke atas Luton Town pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Sterling antara pemain yang menyerlah buat Chelsea ketika seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi pembukaan dan kalah 3-1 kepada West Ham United hujung minggu lalu dan dia sekali lagi kembali kepada persembahan terbaiknya sekali gus membantu Chelsea meraih kemenangan pertama di bawah bos baharu Pochettino.
Pemain berusia 28 tahun itu kembali menyerlah di bawah kendalian jurulatih Argentina itu, yang mengambil alih bulan lalu, sesudah bergelut mencari prestasi konsisten sejak berpindah dari Manchester City pada Julai tahun lalu.
"Komitmen dengan cara dia mahu menyumbang kepada pasukan, dengan etika serta kualiti kerjanya, dia berhak mendapat kredit penuh atas persembahannya," kata Pochettino kepada wartawan. "Saya amat berpuas hati dengannya.
"Dia beritahu saya musim lalu sukar buatnya, tetapi saya gembira apabila pemain itu gembira. Apabila pemain serangan boleh menjaringkan gol atau membuat umpanan gol, ia satu perasaan terbaik."
Pemain Chelsea, Raheem Sterling (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Luton, Ross Barkley dan Ryan Giles di Stamford Bridge, London awal pagi tadi. – Foto AFP
Sterling, yang turut mengumpan kepada penyerang Nicolas Jackson bagi gol ketiga Chelsea, menyatakan dia berbincang dengan Pochettino mengenai memperbaharui peranannya di kelab itu.
"Perbincangan pertama kami dengan semua pemain dan Raheem, saya suka bertanya posisi yang mereka sukai, bagaimana mereka rasa, bagaimana mereka melihat diri mereka," kata Pochettino.
"Ia amat penting, proses itu... Apabila anda mahu membentuk pasukan dengan proses yang kami lakukan, ia memerlukan masa."
Chelsea berdepan Wimbledon pada aksi Piala Liga Inggeris Rabu ini sebelum kembali ke perlawanan liga menentang Nottingham Forest pada 2 September.
"Saya gembira kerana kemenangan pertama seringkali penting," kata Pochettino kepada Sky Sports.
"Ia satu persembahan yang matap. Saya fikir kami memerlukannya, perlu berasa yakin dan percaya dengan apa yang kami lakukan." – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... t-pujian-pochettino |
|