|
Peluang KL City menentang gergasi Iran
DUTA Besar Iran di Malaysia, Ali Asgar Mohammadi (tiga dari kiri) bersama Stanley Bernard (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani kerjasama Kuala Lumpur City dan Sepahan SC, hari ini.
KUALA LUMPUR – Lanjutan kerjasama tiga tahun lagi dengan juara lima kali Liga Profesional Iran, Sepahan SC bakal beri manfaat lebih besar kepada Kuala Lumpur City untuk terus mengembangkan potensi sebagai salah sebuah kelab utama di negara ini.
Secara dasarnya, KL City dan Sepahan SC akan saling bertukar kepakaran malah juara Piala Malaysia 2021 itu berpeluang untuk mengadakan aksi persahabatan dengan naib juara Liga Juara-Juara Asia 2007 berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard, berkata kedua-dua pasukan akan saling membuka peluang termasuk dalam aspek pertukaran pemain pada masa akan datang.
“Daripada dulu lagi (2021) mereka nak datang dan kita juga mahu pergi (ke Iran) tetapi ketika itu kita masih lagi ada kekangan ekoran penularan Covid-19. Mereka pun nak lawan kita namun tahun lepas kita tidak ada cukup masa.
“Mungkin boleh dilakukan pada hujung musim Liga Malaysia (Liga M). Sama ada mereka akan datang ke sini atau pun kita akan ke sana, nanti ia akan ditentukan.
“Kita mungkin boleh hantar pemain ke sana dan kita juga berpeluang untuk pinjam pemain mereka. Ini antara manfaat yang boleh kita dapat daripada kerjasama seperti ini,” katanya pada Majlis Menandatangani kerjasama Kuala Lumpur City dan Sepahan SC, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Duta Besar Iran di Malaysia, Ali Asgar Mohammadi. – KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... ntang-gergasi-iran/
|
|