|
SHA'CARRI (kanan) melintasi garisan penamat di final acara 100m wanita di Kejohanan Olahraga Dunia. FOTO REUTERS
Budapest: Jaguh pecut Amerika Syarikat (AS), Sha'Carri Richardson meranapkan impian Shelly-Ann Fraser-Pryce untuk muncul juara 100 meter (m) wanita dunia buat kali keenam apabila mengalahkan atlet Jamaica itu di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, hari ini.
Sekalipun bermula di lorong kesembilan, Sha'Carri berlari pantas untuk mencipta rekod baru kejohanan, 10.65 saat (s), sekali gus mengesahkan kejuaraan berganda AS dalam acara riben biru itu selepas Noah Lyles memenangi acara lelaki, Ahad lalu.
Shericka Jackson dan Shelly-Ann memenangi pingat perak dan gangsa dengan catatan 10.72s dan 10.77s pada hari ketiga kejohanan.
Ia adalah larian menakjubkan buat Sha'Carri, 23, yang digantung daripada beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana diuji positif ganja.
Impiannya untuk mencabar pingat di Kejohanan Olahraga Dunia di Eugene, tahun lalu, gagal apabila tidak melepasi sesi pemilihan AS.
"Saya di sini sebagai juara. Saya sudah beritahu anda. Saya tidak mengalah, tetapi semakin baik," kata Sha'Carri yang kerap menukar warna rambut dan mengecat kuku sehingga dibandingkan dengan mendiang Florence Griffith-Joyner.
Pelari veteran yang juga juara bertahan, Shelly-Ann berkata, dia gembira dapat merangkul gangsa pada musim yang sukar berikutan dibelenggu kecederaan lutut.
"Tahun lalu, saya mencipta rekod kejohanan dan satu lagi rekod kejohanan dicipta untuk memenangi final malam ini," kata atlet berusia 36 tahun itu kepada BBC.
"Jadi, ia menggambarkan tahap konsisten dalam acara pecut wanita dan bermakna, apabila anda bertanding, anda harus memberikan 100 peratus."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... unia-milik-shacarri |
|