|
ALVAREZ (kiri) meledak gol tunggal perlawanan ketika City menewaskan Newcastle pada aksi awal pagi semalam. - AFP
MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya selepas berjuang mati-matian ketika menang 1-0 ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Walaupun diberi tentangan sengit oleh The Magpies, namun juara trebel musim lalu itu memastikan tiga mata menjadi milik mereka apabila penyerang, Julian Alvarez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-31.
Guardiola berkata, pemain-pemainnya menunjukkan kekuatan mental pada perlawanan tersebut meskipun baru sahaja beraksi menentang Sevilla bagi merebut Piala Super UEFA Khamis lalu.
“Ini adalah perlawanan kedua liga bagi saingan musim 2023/24 dan kami buktikan mengapa City mampu menang banyak perlawanan. Semua pemain menunjukkan sikap serta mentaliti yang sangat hebat.
“Turun menentang sebuah pasukan seperti Newcastle selain dibelenggu kecederaan selain kurang rehat, kami bermain sangat baik. Pemain-pemain tunjukkan komitmen dengan sentiasa berlari dan menjalankan tanggungjawab bertahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan situasi di mana seorang penyokong City menggesa beliau supaya melakukan pertukaran pemain bagi memastikan The Citizens menjaringkan lebih banyak gol.
“Dia (penyokong) meminta saya supaya melakukan pertukaran, jadi saya minta dia datang dan menggantikan saya kerana saya tidak tahu siapa yang perlu dikeluarkan. Bagaimanapun, ia hanya sebagai gurauan,” ujar Guardiola. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... in-manchester-city/ |
|