PASUKAN bomba Maui masih memadam sisa kebakaran di lembah Kula, Pulau Maui. FOTO Reuters.
Berharap mangsa yang hilang terselamat, orang ramai menyaring beribu nama yang disiar pangkalan data dalam talian untuk mencari ahli keluarga mereka.
Ada yang berkongsi maklumat keluarga dan rakan di media sosial serta meminta bantuan mencari mereka yang masih belum ditemui.
"Masih mencari mentua saya," tulis Heather Baylosis dalam catatan Instagram pada Sabtu.
Katanya, orang ramai yang ditemui selamat pula masih keliru dengan apa yang sedang dihadapi, namun tetap menaruh harapan.
Megan Sweeting berkongsi halaman Facebook, "HILANG: Ayah saya, Michael Misaka telah hilang sejak kebakaran Lahaina bermula. Jika ada sebarang maklumat di luar sana mengenai ayah saya sila maklumkan saya. Saya cuma mahu tahu dia selamat."
Gabenor Hawaii, Josh Green sekali lagi berikrar untuk menyiasat sistem pemberitahuan kecemasan dan tindak balas kebakaran selepas beberapa penduduk mempersoalkan sama ada lebih banyak amaran boleh diberikan ketika kejadian.
Beberapa saksi berkata, amaran kebakaran diterima terhad dan menggambarkan ketakutan mereka apabila api memusnahkan bandar dalam masa beberapa minit sahaja.
Ada orang yang terpaksa terjun ke Lautan Pasifik untuk menyelamatkan diri.
Siren yang diletakkan di sekitar pulau itu bertujuan untuk memberi amaran mengenai bencana alam didakwa tidak berbunyi, manakala bekalan elektrik serta gangguan selular menghalang bentuk amaran yang lain.
"Kita akan tahu tidak lama lagi sama ada siren itu dibunyikan secara mencukupi atau tidak," kata Green kepada MSNBC.
Kos untuk membina semula Lahaina dianggarkan berjumlah $5.5 bilion, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), dengan lebih 2,200 struktur rosak atau musnah dan lebih 2,100 ekar (850 hektar) kawasan terbakar.
|