KEPALA BATAS: Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menang dengan majoriti 2,321.
Ia sekali gus mengubati kekecewaannya yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Reezal Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 10,453 undi manakala pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pula memperoleh 8,132 undi.
Terdahulu, tindakan Reezal Merican yang ingin bertanding di Bertam adalah kerana ia adalah antara DUN dalam Parlimen Kepala Batas yang membolehkan dirinya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat.
Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkenaan turut memaklumkan ia adalah signal bahawa walaupun tewas beliau sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan rakyat bahkan kemunculan semulanya juga disifatkan kebangkitan BN di Kepala Batas.
Pada PRU15 lalu, Reezal Merican tewas pada pencabarnya, Dr Siti Mastura Muhammad dari PN.
Siti Mastura menang dengan majoriti 2,867 dengan memperoleh 28,604 undi manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi.
Kemenangan calon PN itu sekali gus menyaksikan buat kali pertama BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan pada tahun 1974.
Sementara itu, kerusi DUN Pinang Tunggal yang sebelum ini disandang bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman daripada PKR menerima 'kejutan' apabila calon Pakatan Harapan (PH), Zainuddin Mohamed juga daripada parti yang sama tewas dengan majoriti 6,928.
Zainuddin memperoleh 10,132 undi berbanding lawannya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas iaitu Bukhori Ghazali dengan 17,060 undi.
Satu lagi kerusi di Kepala Batas iaitu DUN Penaga pula kekal menjadi milik PAS apabila Calon PN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd Yusni Mat Piah dengan majoriti 5,537.
Mohd Yusni memperoleh 13,223 undi manakala lawannya, Mohd Naim Salleh pula mendapat 7,686.