CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1193|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kempen suram di Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 9-8-2023 10:48 AM | Show all posts |Read mode
Kempen suram di Pulau Pinang


Oleh Muhammad Yusri Muzamir - Ogos 9, 2023 @ 9:55am  [email protected]








Georgetown: Ketika ramai pemerhati melihat Pakatan Harapan (PH) yang didukung kuat Barisan Nasional (BN) tidak berdepan cabaran besar bagi mempertahankan Pulau Pinang, suasana kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini terasa kurang meriah.

Malah, di negeri ini, PH dilihat kurang menyerlah dengan penganjuran siri ceramah mega gabungan itu, bagi menghimpunkan penyokong berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.



Foto hiasan.

Kesuraman suasana kempen PH pada PRN ini juga dikatakan ada kaitan dengan tindakan segelintir penyokong yang memprotes kerjasama PH dengan BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan, seusai PRU15 lalu.

Pada masa sama, keengganan PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berkongsi jadual pergerakan calon masing-masing juga, atas alasan faktor keselamatan turut menyumbang kempen PRN menjadi kurang hangat di negeri ini.

Ia sekali gus mengimbau suasana hampir sama ketika tempoh kempen PRU12, pada 2008, yang menyaksikan Pakatan Rakyat (kini dikenali PH) memecah tradisi apabila berhasil merampas Pulau Pinang daripada BN yang ketika itu menerajui pentadbiran negeri kira-kira 51 tahun.

Pada PRN 12 Ogos ini, sebanyak 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan satu lawan satu, manakala tujuh kawasan lagi berdepan saingan tiga penjuru, diikuti pertandingan empat penjuru di empat kerusi.

Gabungan PH-BN menampilkan 40 calon merangkumi 19 dari DAP, diikuti PKR (13), AMANAH (dua) dan UMNO (enam).

PN juga menampilkan jumlah calon sama, masing-masing 11 dari BERSATU, manakala PAS (10) dan GERAKAN (19).

PRN Pulau Pinang turut menyaksikan penyertaan calon dari parti lain, masing-masing lima wakil Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, MUDA (tiga) dan Penang Front Party (dua).

Berdasarkan komposisi calon, PH dilihat ada kelebihan untuk sekurang-kurangnya kekal menerajui Pulau Pinang apabila calon DAP yang kebanyakan bertanding di bandar mampu menang selesa, walaupun berdepan sedikit bantahan kecil dalam kalangan penyokong secara dalaman di peringkat awal.

Saingan sengit pada PRN Pulau Pinang dilihat terarah kepada kawasan kerusi majoriti pengundi Melayu yang ditandingi calon Melayu daripada parti bertanding sama ada wakil PKR, BN, PAS, AMANAH dan BERSATU.

Laluan sukar
Calon PKR di DUN Pinang Tunggal dalam Parlimen Kepala Batas, Zainuddin Mohamed dan wakil BN di DUN Permatang Berangan dalam Parlimen Tasek Gelugor, Nor Hafizah Othman, mungkin berdepan laluan sukar kerana kedua-dua parti menang dengan majoriti 127 undi dan 647 undi, pada PRU14.

Wakil BN bagi lima lagi kerusi, iaitu DUN Penaga dan Bertam (Parlimen Kepala Batas), Sungai Dua (Parlimen Tasek Gelugor), Sungai Acheh (Parlimen Nibong Tebal) dan Telok Bahang (Parlimen Balik Pulau) yang juga kawasan majoriti Melayu, diramal berdepan cabaran sukar.

Pengaruh gelombang hijau menyulitkan usaha BN untuk merampas atau mempertahankan kerusi berikutan asakan PN. Namun, keadaan itu masih boleh diatasi, jika calon memaksimumkan penggunaan isu setempat dan kekurangan kemudahan asas di kebanyakan lokasi.

Di DUN Penaga misalnya, calon BN, Mohd Naim Salleh, masih mempunyai peluang menang kerana sudah lama berkhidmat di situ, berbanding wakil PN yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan yang dikatakan gagal menyelesaikan isu asas dihadapi penduduk.

DUN Bertam menyaksikan saingan sengit antara penyandangnya, PN, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq daripada BN, dengan pencabarnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selaku wakil BN, namun beberapa isu lampau membuatkan ketika ini kelebihan dilihat memihak kepada Khaliq Mehtab.

Personaliti Nor Hafizah (BN) sebagai penyandang kerusi DUN Permatang Berangan dengan latar belakangnya sebagai peguam, kurang menyerlah berbanding pencabar, Mohd Sobri Salleh yang tewas di kawasan sama ketika mewakili PAS pada PRU14.

Calon BN bagi DUN Sungai Dua, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin yang juga Ketua UMNO bahagian Bagan dengan aura calon luar, dikatakan kurang disenangi pengundi kerana gagal menyaingi perwatakan penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Muhamad Yusof Mohd Noor, yang tidak bertanding kali ini.

Bukan calon tempatan
Pesaing Shaik Hussein yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff, juga berstatus bukan calon tempatan, namun memiliki kelebihan apabila dibayangi 'Gelombang Hijau' biarpun pernah kecundang di DUN Permatang Pasir pada PRU14.

DUN Sungai Acheh turut menyaksikan saingan sengit di antara BN dan PN yang menampilkan anak tempatan, iaitu Rashidi Zinol (BN) dan penyandang, Zulkifli Ibrahim (PN) yang menang kawasan itu atas tiker PKR pada PRU14.

Di DUN Telok Bahang, calon BN, Ahmad Zaki Shah Shah Headan dilihat berpeluang untuk menang jika Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Pulau Pinang itu berjaya menundukkan amalan 'politik kepuakan' di situ untuk mengatasi pencabarnya, Muhamad Kasim, daripada PN.

Beralih ke DUN Bayan Lepas, penyandangnya, Azrul Mahathir Aziz dilihat ada kelebihan kerana disenangi pengundi, selain insiden pergeseran di antara PAS dan GERAKAN berhubung calon mewakili PN di situ.

Tanpa sokongan pemimpin akar umbi PAS setempat, peluang Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menang DUN Bayan Lepas dilihat hampir tiada, namun masih boleh menggunakan peluang ketika pusingan akhir kempen untuk membuat penampilan lebih bergaya.

Daripada pemerhatian, setakat ini, komponen parti dalam PH mampu menyapu 28 kerusi, manakala PN berupaya memenangi tujuh kerusi, manakala dijangka lima kerusi lagi menyaksikan peluang seimbang di antara parti bertanding.

Masa sama, ada pihak berpendapat BN dijangka gagal memenangi sebarang kerusi pada saingan PRN ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian mengakui PH-BN memiliki kelebihan membentuk kerajaan negeri, namun tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan meraih kemenangan dengan jumlah kerusi yang kurang berbanding bilangan DUN dimenangi pada PRU14.



Sivamurugan Pandian, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia.

Katanya, corak kempen semasa dilihat memihak kepada PH-BN, selain peluang gabungan itu menawan kerusi majoriti campuran di Pulau Pinang berbanding PN.

"Bagaimanapun, kita akan menyaksikan persaingan yang betul-betul menguji kekuatan sebenar jentera BN dan PN di zon utara Pulau Pinang yang pola pengundian mungkin dipengaruhi sentimen Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dari PN.

"Namun, calon PH-BN di situ masih berpeluang menggunakan elemen taktikal secara strategik sepanjang tempoh kempen berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian 12 Ogos," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-2-2025 09:38 PM GMT+8 , Processed in 0.055520 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list