|
Arsenal sedia buru semua trofi
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mahu memburu kesemua trofi pada musim baharu. - Foto AFP
LONDON: Arsenal berazam mahu memburu kesemua trofi pada musim baharu menjelang pertemuan naib juara Liga Perdana Inggeris itu dengan juara treble, Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti esok.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, dia mahu pasukannya meneruskan momentum musim lalu dan tampil dengan lebih berkualiti kali ini.
Arsenal gagal mengekalkan kedudukan di puncak liga musim lalu selepas diburu City, yang kemudian memenangi treble dengan menjulang trofi Piala FA dan kejuaraan sulung Liga Juara-Juara Eropah mereka pada Jun.
Arsenal mendahului lapan mata ke atas City sehingga pertengahan Mac, tetapi dipintas pada penghujung April dan kini boleh menebus kekecewaan mereka dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris di Wembley esok.
Arteta, 41, pernah menjadi penolong Pep Guardiola di City dari tahun 2016 hinggga 2019 sebelum mengambil alih Arsenal dan membimbing mereka menjuarai Piala FA pada musim pertamanya.
Kemudian dia membantu Arsenal layak ke Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali sejak kempen 2016-17.
"Sangat teruja untuk beraksi merebut trofi, kami menentang pasukan yang perlu ditewaskan. Ini yang kami mahukan (era baharu untuk Arsenal), berjuang untuk setiap trofi.
"Kami perlu membuktikannya. Apa yang kami lakukan tahun lalu tidak cukup untuk memenangi trofi, dan kami perlu tampil lebih baik," kata Arteta.
Arsenal mengukuhkan skuad muda mereka dengan membeli Declan Rice, Kai Havertz dan Jurrien Timber, tetapi Arteta berkata ia belum mencukupi.
"Kami masih dalam proses (membina skuad). Masih ada masa untuk itu, tetapi kami cukup gembira dengan skuad yang ada sekarang," katanya yang dalam proses mendapatkan penjaga gol Brentford, David Raya. - REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... ia-buru-semua-trofi
|
|