|
ONANA mengakui hubungannya bersama Maguire masih lagi baik, biarpun berdepan situasi tegang ketika menentang Dortmund. - AFP
NEVADA – Penjaga gol baharu Manchester United, Andre Onana mempertahankan tindakannya memarahi Harry Maguire dan memberi amaran kepada pemain pertahanan itu supaya kekal fokus.
Situasi yang menyaksikan Maguire ‘melepaskan’ bola kepada pemain lawan jelas kurang disenangi oleh Onana, namun menegaskan beliau kekal bersikap profesional.
Bercakap selepas kekalahan 2-3 kepada Borussia Dortmund, Onana mengesahkan hubungannya dengan Maguire masih baik dan tiada sebarang isu berbangkit.
“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripadanya kerana saya tahu dia adalah pemain berkualiti. Dia juga salah seorang daripada kapten pasukan dan seorang individu yang hebat.
“Hubungan saya dengannya juga baik, namun dia perlu bersedia kerana apabila saya mengawal bola, saya juga mengharapkan bantuan daripada pemain lain. Kesilapan akan tetap berlaku dan kami tidak perlu takut.
“Semua ini adalah sebahagian daripada kehidupan dan kita perlu belajar daripada kesalahan yang berlaku. Tetapi, kami perlu jadi lebih kritikal kerana jika mahu dapatkan hasil, kami perlu lakukan lebih baik lagi,” katanya.
Bagaimanapun, masa depan Maguire di Old Trafford masih lagi samar kerana tidak lagi menjadi pilihan buat pengurus pasukan, Erik tTen Hag dan hanya membuat lapan penampilan di kesebelasan utama musim lalu. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... united-lebih-fokus/ |
|