|
F1: Max Verstappen berdepan penalti di Belgium
VERSTAPPEN dikenakan penalti lima grid perlumbaan ekoran penukaran kotak gear pada jenteranya. – AFP
SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium – Juara dunia Formula Satu (F1), Max Verstappen tidak cemas dengan hukuman penalti lima grid yang dikenakan ke atasnya sekali gus optimis mampu meneruskan rentak kemenangan menjelang perlumbaan sebenar di Grand Prix (GP) Belgium hari ini.
Pemandu Red Bull tersebut dikenakan penalti kerana pasukan membuat keputusan untuk menukar kotak gear buat kali kelima bagi musim ini iaitu lebih satu daripada yang dibenarkan.
“Tahun lalu, saya mendapat lebih banyak penalti. Jadi, tidak mustahil kami masih boleh memenangi perlumbaan ini.
“Apapun, saya rasa bersemangat berada di sini melihat begitu ramai peminat. Saya membesar dekat sini dan saya telah banyak kali berlumba di sini, jadi ia seperti perlumbaan kedua di tempat sendiri bagi saya,” kata Verstappen.
Hasil keputusan tersebut, pelumba Ferrari, Charles Leclerc akan memulakan saingan dipetak utama dan ekori rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez di petak kedua, manakala pelumba Mercedes, Lewis Hamilton di petak ketiga.
Pada tahun lalu, Verstappen yang bermula di petak ke-14 berikutan dikenakan penalti berkaitan enjin tetap menampilkan aksi luar biasa selepas melakar kemenangan.
Pada tahun ini, pelumba berusia 25 tahun itu mahu melebarkan rekod 13 kemenangan berturut-turut buat Red Bull termasuk memburu 12 kemenangan dalam semusim, sekali gus menjadi pasukan pertama mencapai kejayaan itu.
Ketika ini, Verstappen mendahului rakan sepasukannya dari Mexico, Sergio Perez dengan kelebihan 110 mata. – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/07 ... penalti-di-belgium/
|
|