Batu Kawan: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow terkejut dengan sambutan luar biasa Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini sejak Jumaat lalu.
Sambil berjenaka Chow mengatakan bahawa beliau tidak menyangka orang ramai sanggup meredah kesesakan untuk memeriahkan karnival itu.
Katanya, tempat parkir juga penuh dengan kenderaan tetapi pengunjung tetap berpusu-pusu masuk kerana tidak mahu melepaskan peluang merasai kemeriahan KJH.
"Saya difahamkan bahawa kehadiran di karnival ini mencatatkan lebih 300,000 pengunjung selama tiga hari yang ia rekod luar biasa.
"Ini menunjukkan bahawa karnival ini sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang.
"Bagi saya, KJH adalah jenama dan acara yang membawa kebahagiaan kepada rakyat seluruh Malaysia kerana keunikannya yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta membantu perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup KJH, di sini, malam ini.
Terdahulu, Chow meluangkan masa lebih dua jam di tapak KJH dengan melawat beberapa pameran di reruai yang disediakan sepanjang karnival itu, selain bersua sapa dengan pengunjung yang hadir.
Pengurusan tertinggi Media Prima diketuai Pengerusi Kumpulan Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid bersama Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman mengiringi Kon Yeow sepanjang lawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Chow berkata, beliau berharap KJH akan diadakan lagi di negeri itu pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan berikutan karnival itu mendapat tempat di hati rakyat.
"Saya mengalu-alukan kedatangan karnival ini dan berharap kita akan berjumpa lagi. Ini bukan kali pertama saya datang melawat kerana semasa pembukaan juga saya sudah datang yang saya amat berpuas hati dengan kejayaan karnival ini," katanya.
Dalam pada itu, Chow berkata, beliau mahu terus memimpin Pulau Pinang supaya rakyat dapat terus menikmati kemajuan, pertumbuhan ekonomi yang membolehkan lebih banyak pelabur asing masuk sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Apatah lagi, kerajaan pusat juga senada dengan kita yang membawa pelbagai projek antaranya infrastruktur, rancangan tebatan banjir (RBT) dan pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.
"Jadi, saya berharap kesinambungan ini dapat diteruskan untuk penggal seterusnya," katanya.