Georgetown: Tindakan DAP tidak menamakan pemimpin veteran seperti Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bertujuan memberi nafas baharu kepada parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat keperluan untuk memberi peluang kepada muka baharu menunjukkan bakat kepimpinan dan ia proses lazim yang berlaku dalam setiap parti politik.
Katanya, Ramasamy, 74, yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai sudah berkhidmat selama tiga penggal, manakala tempoh perkhidmatan Ketua Wanita DAP, Chong Eng, 66, termasuk sebagai Ahli Parlimen pula selama enam penggal sejak 1995.
"Pembaharuan akan berlaku setiap kali pilihan raya... satu hari nanti mungkin satu (atau) dua pilihan raya akan datang, saya juga akan digantikan.
"Jadi DAP percaya bahawa parti lebih besar daripada mana-mana pemimpin, individu. Tidak ada seorang pemimpin yang tak boleh digantikan, malah Lim Kit Siang juga bersara daripada (bertanding) pilihan raya.
"Jadi sebagai Setiausaha Agung, saya akan memastikan bahawa proses ini terus berlangsung dan DAP akan terus muda, supaya kita dinamik dalam perjuangan politik kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah di sini, hari ini.
Ditanya ada kemungkinan pemimpin tidak dicalonkan, akan bertanding sebagai calon bebas, Loke berkata, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku.
"Tapi memang prinsip kita, kalau mana-mana ahli parti bertanding bebas, mereka akan hilang keahlian secara automatik," katanya.
Terdahulu beliau mengumumkan 19 calon dengan tujuh orang adalah muka baharu, selain empat wanita dan 21 peratus calon DAO berusia bawah 40 tahun.
Berikut senarai calon DAP yang akan bertanding PRN Pulau Pinang dan Kedah 12 Ogos ini.
PULAU PINANG (19 DUN)
N07 Sungai Puyu - Phee Syn Tze
N08 Bagan Jermal - Chee Yeeh Keen
N09 Bagan Dalam - Kumaran Krishnan
N13 Berapit - Heng Lee Lee
N15 Padang Lalang - Gooi Zi Sen
N16 Perai - Sundarajoo Somu
N19 Jawi - H'ng Mooi Lye
N22 Tanjung Bunga - Zairil Khir Johari
N23 Air Putih - Lim Guan Eng
N25 Pulau Tikus - Woo Sze Zeng
N26 Padang Kota - Chow Kon Yeow
N27 Pengkalan Kota - Wong Yuee Harng
N28 Komtar - Teh Lai Heng
N29 Datok Keramat - Jagdeep Singh Deo
N30 Sungai Pinang - Lim Siew Khim
N31 Batu Lancang - Ong Ah Teong
N32 Seri Delima - Tan Hooi Peng
N33 Air Itam - Joseph Ng Soon Siang
N34 Paya Terubong - Wong Hon Wai
KEDAH (Dua DUN)
N13 Kota Darulaman - Teh Swee Leong
N11 Derga - Tan Kok Yew