![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/23sesat_1690105265.jpg)
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang melakukan tugas khas mencari dan menyelamat empat pendaki yang tersesat di kawasan hutan berhampiran Pantai Esen, Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini. - Foto JBPM
BAYAN LEPAS: Empat pendaki tersasar dan sesat di kawasan hutan berhampiran Pantai Esen, Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini, hari ini, kerana mahu elak pokok tumbang merentang laluan pendakian.
Semua pendaki berusia 20-an itu bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Mohd Mustakim Mat Salleh berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.04 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan penyelamat dimaklumkan bahawa mereka terdiri daripada empat pendaki termasuk seorang perempuan.
"Walaupun talian telekomunikasi tidak memuaskan, namun mereka dapat dihubungi menerusi panggilan telefon dan turut berkongsi kedudukan menggunakan aplikasi Whatsapp.
"Usaha mencari dan menyelamat mengambil masa empat jam dan mereka kemudian ditemui tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Mustakim berkata, berikutan kesemua pendaki tersasar dari jalur pendakian asal, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan laluan rintis.
"Pasukan penyelamat terpaksa membuka laluan baharu sejauh 600 meter bagi menjejak kesemua pendaki itu.
"Mereka kemudian ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.
Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat berkenaan turut dibantu orang awam yang melakukan aktiviti pendakian di kawasan itu.