BUTTERWORTH: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjadi antara tujuh muka lama digugurkan PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Selain penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak itu, turut digugurkan ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; EXCO Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Keusahawanan, Datuk Halim Hussain.
Turut tidak dicalonkan semula, EXCO Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Timbalan Yang Dipertua DUN, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah.
Penyandang kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Datuk Mustafa Kamal Ahmad dan penyandang DUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee, juga tidak disenaraikan.
Hanya lima muka lama diberi peluang mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu iaitu Mohd Tuah Ismail (DUN Pulau Betong), Lee Khai Loon (Machang Bubok), Gooi Hsiao Leung (Bukit Tengah), Goh Choon Aik (Bukit Tambun) dan A Kumaresan (Batu Uban).
PKR turut menampilkan lapan muka baharu yang iaitu Zainuddin Mohd (Pinang Tunggal), Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar), Johari Kassim (Seberang Jaya), Rohsidi Hussin (Penanti), Norhidayah Che Ros (Sungai Bakap), Lee Boon Heung (Kebun Bunga), Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof Dr Mohd Abdul Hamid (Batu Maung).
Secara keseluruhannya, PKR akan bertanding 13 kerusi DUN di Pulau Pinang.
PKR memenangi 12 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU14, manakala DAP meraih 19 kerusi dan AMANAH dua kerusi.
Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, menyertai BERSATU sehingga kerusi berkenaan diisytiharkan kosong.
Sebelum ini, Ahmad Zakiyuddin dan Norlela antara yang dilaporkan ingin mempertahankan kerusi dimenangi namun perlu akur dengan keputusan parti, sekali gus berterima kasih atas peluang berkhidmat kepada rakyat di negeri itu.