BUKIT MERTAJAM: Situasi penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disamakan segelintir penyokongnya dengan keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan dalam kejadian pada 1998, dianggap satu perkara yang 'melucukan'.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata beliau 'geli hati' melihat beberapa kisah penahanan Muhammad Sanusi itu di media sosial dengan mengaitkan situasi serupa dihadapi Presiden PKR 25 tahun lalu.
Katanya, apa yang berlaku terhadap Muhammad Sanusi berbeza dengan Anwar yang ketika itu disepak terajang sedangkan Menteri Besar Kedah berkenaan hanya ditahan untuk pendakwaan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
"Sanusi (ketika ini) jejaka 'Malaya paling glamour' (terkenal) tapi beliau tak masuk lokap pun yang beliau hanya ditahan dan didakwa tetapi ada yang nak disamakan (apa yang berlaku terhadap Sanusi) dengan Anwar masa 1998 dulu.
"Kalau ada orang sepak terajang Sanusi itu lain lah. Ini nasib baik beliau kena tahan dan dakwa je tapi kecoh, kononnya orang-orang dalam Kerajaan Perpaduan ni takut dengan Muhammad Sanusi sampai beliau kena tangkap pukul 3 pagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, di sini, malam tadi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau menasihati Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu supaya berhati-hati dan menjaga percakapan dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri menyebabkan beliau akan ke penjara.
"Masa saya jadi pembangkang dulu, bila nak bawa suara kebenaran nak sampaikan kepada masyarakat kita berdepan dengan pelbagai cubaan. Saya ada 14 kes mahkamah yang ada dua ke tiga hari dan paling lama lima hari dalam lokap (penjara).
"Masuk lokap empat ke lima hari, bab tidur tak ada masalah, kita gemuk jadi kalau kurang makan tak apa, tapi bab mandi ada masalah yang pesan saya kepada Sanusi kalau tak jaga mulut sekali lagi kena tahan, jangan mandi sebab kalau nak mandi, kena bogel," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi juga secara sinis memberitahu tiada ahli politik dalam PKR ditahan atau didakwa atas kesalahan menghina institusi diraja.
"Pelik mereka (PN) yang menunjukkan diri sebagai parti memperjuangkan Melayu, Islam didakwa atas kesalahan menghina raja. Kalau saya yang kata macam itu (memperlekehkan sultan) mesti PAS dah keluar berarak atas jalan hingga memerlukan saya kena masuk gua kerana takut untuk keluar.
"Saya nak nasihat lagi, kalau dia (Muhammad Sanusi) rasa dan nak jadi hebat, kacau, langgar itu ini tak ada masalah tapi kena bersedia terima akibatnya," tegasnya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah politik, minggu lalu.
Di mahkamah sama, Muhammad Sanusi, 48, turut didakwa atas kesalahan mempertikaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Muhammad Sanusi kemudian dibenar diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini sehingga perbicaraan selesai.