GEORGETOWN: Pimpinan kerajaan negeri Kedah didakwa menggunakan sebahagian peruntukan penyelenggaraan jalan bagi tujuan pembangunan negeri terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sepatutnya hanya untuk penyelenggaraan jalan.
Beliau berkata, pimpinan kerajaan negeri Kedah didakwa lemah dalam pengurusan kewangan kerana sepatutnya mengikut perlembagaan, sebanyak RM1.6 bilion yang diperuntukkan menerusi MARRIS bagi Kedah hanya boleh digunakan untuk menyelenggara jalan raya di negeri berkenaan.
Namun, katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa menggunakan wang berkenaan bagi tujuan pembangunan lain.
"Tapi apa yang Menteri Besar Kedah buat? Dia guna wang itu bagi tujuan pembangunan yang menyalahi semua tata kelola kewangan kerajaan.
"Dia (Muhammad Sanusi) pemimpin parti Islam, sepatutnya tahu tata kelola yang betul malah negara ini ada disiplin dalam menguruskan kewangan.
"Berdasarkan ulasan penasihat undang-undang termasuk penasihat negeri, perkara itu (peruntukan MARRIS digunakan untuk pembangunan negeri) tidak boleh berlaku dan akibatnya mereka (kerajaan negeri) menerima teguran daripada Ketua Audit Negara berkaitan kecacatan pengurusan kewangan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, malam tadi.
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, rentetan daripada teguran Ketua Audit Negara, Kedah meminta menteri kewangan membenarkan wang MARRIS dipindah ke akaun pembangunan.
"Negeri itu mengamalkan konsep berkenaan kerana mereka mendapat kutipan hasil sangat kecil iaitu anggaran RM470 juta dan ini terjadi kerana menteri besarnya sibuk bermain politik.
"Dia cakap perkara besar misalnya projek tambak laut di Langkawi, hendak bina lapangan terbang dan mahu ambil semula Pulau Pinang, sedangkan kerja hakikinya adalah menguruskan negeri itu.
"Kalau dari segi pentadbiran kewangan pegawai kerajaan patut dikenakan tindakan surcaj dan ini baru satu contoh, saya akan sebut lagi beberapa perkara lain," katanya.