Kangar: Digelar sebagai 'Mak cik Harley Davidson', aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi sudah sebati dengan diri wanita ini, bukan untuk menandingi lelaki sebaliknya ia sebagai hobi dan ganjaran untuk diri selepas penat berkerja.
Sarimah Mohd Zainul, 46, mengakui status sebagai isteri dan ibu tidak menghalang dirinya meneruskan minat menunggang motosikal yang dipupuk sejak kecil selepas kerap membonceng motosikal bersama bapa.
Menurutnya, bapanya sangat meminati motosikal Harley Davidson, namun impiannya mahu memiliki jentera itu tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 2002.
"Sejak kecil saya selalu ikut arwah ayah menunggang motosikal, dulu ayah tunggang suzuki, vespa dan scrambler. Arwah nak beli Harley Davidson tetapi belum ada rezeki ketika itu kerana ada tuntutan lain.
"Apabila saya berkerja dan minat terhadap motosikal masih tinggi saya beli motosikal jenis itu sebagai simbolik merealisasikan impian arwah pada 2014 biarpun ketika itu masih lesen L dan dua tahun selepas itu berjaya dapat lesen B penuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, ketika ini dia mempunyai dua motosikal Harley Davidson iaitu Superlow XL 883 dan HD Nightster 1200 yang dibeli dengan usaha dan tabungan sendiri demi kepuasan serta hadiah untuk dirinya.
"Ini adalah hobi dan saya selalu pesan pada diri untuk sentiasa menjaga adab wanita ketika menunggang motosikal. Umur dan status bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu diminati asalkan pandai menjaga diri," kata Ladies of Harley Officer dan pengasas Throttle Angels itu.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum di sebuah sekolah rendah di Bintong, di sini, itu turut berkongsi minat bersama anak keduanya yang, Alisya Rafiqah Azizul, 20, yang menunggang motosikal jenis KTM Duke 200.
"Suami juga sokong minat saya, malah kadang-kadang kami 'ride' sama-sama, kadang-kadang saya tunggang seorang diri bersama anak.
"Inilah 'me time' saya, malah sudah lebih 100 konvoi disertai dalam dan luar negara termasuk Thailand.
"Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah mendapat kecaman yang mengguris hati sebaliknya dapat pujian. Kalau ada yang cakap saya mak cik ranggi, saya tidak kisah sangat dan selalu berfikiran positif selagi saya tahu menjaga batas.
"Orang selalu puji saya masih aktif menunggang dan mampu tunggang sehingga lebih 650 kilometer (km), berani mengambil cabaran untuk meneroka minat yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
"Namun saya bukan mahu 'berlawan' dengan mereka sebaliknya mahu mengambil cabaran diri dalam aktiviti itu," katanya yang juga wanita pertama melakukan tunggangan solo di Semenanjung Malaysia dengan Harley Davidson pada 2018.