Georgetown: Exco kerajaan 'caretaker' Pulau Pinang masih boleh menggunakan kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka termasuk kenderaan rasmi selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa esok.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagaimanapun menjelaskan mereka hanya dibenar menggunakan kenderaan rasmi itu sehingga sehari sebelum hari penamaan calon.
"MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) ada menerima taklimat daripada bahagian DUN berhubung peranan kerajaan 'caretaker' antaranya membabitkan penggunaan kereta dan kemudahan lain termasuk penggunaan kereta rasmi.
"Kita bincang dan memutuskan sebaik sahaja penamaan calon iaitu mungkin sehari sebelum penamaan calon kita tidak nampak macam mana nak menjalankan tugasan kerajaan 'caretaker' sebab mungkin terbabit dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).
"Jadi pada hari itu kita akan berhenti menggunakan kenderaan rasmi yang akan dibawa balik oleh pemandu ke depo untuk disimpan dan direhatkan," katanya dalam sidang media selepas berucap sempena Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini.
Beliau berkata kerajaan 'caretaker' merujuk kepada ahli-ahli exco yang boleh terus hadir ke pejabat bagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran yang biasa sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.
Katanya, pada pada masa ini kenderaan rasmi yang diperuntukkan untuk kegunaan ahli exco boleh digunakan untuk urusan rasmi kerajaan dan menghadiri upacara persendirian.
Beliau turut memaklumkan, pejabat exco turut masih beroperasi selepas DUN dibubarkan tetapi pusat-pusat khidmat DUN akan terhenti dengan sendirinya apabila tempoh pembubaran berkuat kuasa.