CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 158|Reply: 0

[Pulau Pinang] Biarpun tak dapat rai, Ibu Hawari tetap bangga

[Copy link]
Post time 21-6-2023 11:15 AM | Show all posts |Read mode
Biarpun tak dapat rai, Ibu Hawari tetap bangga


Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my



Che Tom Hassan ibu kepada pendaki Everest, Muhammad Hawari Hashim, ketika ditemui di Kampung Permatang Kerai Besar di sini. FOTO DANIAL SAAD




Tasek Gelugor: Ibu kepada peserta Malaysia Everest (ME) 2023, Muhammad Hawari Hashim, bangga dengan pencapaian anak lelakinya yang sudah diisytiharkan berjaya menawan puncak tertinggi itu sebelum dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu.

Che Tom Hassan, 64, berkata, sebagai ibu, dia gembira apa yang diidamkan anak ketiganya itu tercapai, walaupun sedih kejayaan berkenaan tidak dapat diraikan berikutan kehilangan pendaki terbabit.

Namun begitu, Che Tom berkata, dia sudah reda sepenuh hati jika Muhammad Hawari 'pergi', namun berharap jasad anaknya itu dapat ditemukan.

"Kami sekeluarga sudah ambil maklum mengenai pengisytiharan Hawari yang berjaya mendaki Everest dan sudah tentu gembira serta bangga kerana itu yang dia idamkan selama ini, walaupun dirinya tidak normal seperti orang lain (orang kurang upaya (OKU) pendengaran).

"Tambahan pula, ini ekspedisi ketiganya ke Everest selepas tahun 2019 dan 2020, sebelum dia berjaya mendaki hingga ke puncak tertinggi gunung itu tahun ini.

"Namun, apakan daya kejayaan ini tidak dapat diraikan kami sekeluarga. Mak cik reda tetapi mak cik harap jasadnya dapat ditemukan walau dalam keadaan apa sekali pun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini, semalam.

Jelasnya, keluarga mahu jasad Muhammad Hawari ditemukan supaya dapat mengubah status pendaki itu yang kini diklasifikasikan sebagai 'orang hilang' (OH).

"Apabila status Hawari seperti itu ia menyebabkan pelbagai urusan membabitkan dokumen dan tuntutan mengalami masalah kerana perlu menunggu sehingga tujuh tahun.

"Ini yang menyebabkan menantu mak cik (isteri Hawari) agak tertekan apatah lagi dia tidak bekerja dan mempunyai dua anak berusia dua serta empat tahun yang masih kecil dan perlu ke sekolah.

"Hawari juga membeli sebuah rumah dan membuat pinjaman peribadi untuk mengubah suai rumah mak cik yang perkara ini juga membuatkan mak cik buntu kerana ia tidak dapat diselesaikan segera melalui insurans memandangkan Hawari berstatus OH," katanya.

Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang di Gunung Everest sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sehari sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari dilaporkan bersambung tahun depan berikutan permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal, sudah tamat.



Disiarkan pada: Jun 21, 2023 @ 11:03am












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-6-2024 02:39 AM GMT+8 , Processed in 0.058279 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list