KULIM: Seorang pemandu kereta ditemukan rentung, manakala isteri dan dua anaknya parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kulim -Baling, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata Balai Polis Trafik Kulim menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada jam 2.20 petang tadi.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 27 tahun memandu kereta PROTON Iswara yang terbakar dan rentung.
"Isteri mangsa berusia 28 tahun dan dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan empat tahun parah, sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kulim (HK).
"Siasatan awal dilakukan polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta jenis Toyota Camry yang datang dari arah Baling ke Kulim.
"Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Camry yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Redzuan berkata, siasatan juga mendapati pemandu kereta Toyota Camry itu memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Rahim Che Omar berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu PROTON Iswara tersepit dan terbakar.
Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian memadam kebakaran kereta terbabit dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Kita turut memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa kemalangan," katanya.