ANGIN merupakan masalah yang sering kita alami dan biasanya ia berpunca daripada aspek pemakanan serta sistem penghadaman.
Perut senak atau kembung, kerap sendawa dan badan rasa berbisa membuatkan seseorang tidak selesa serta lesu, malah mungkin tertekan akibat masalah angin apatah lagi jika mempunyai kerjaya yang perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.
Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr. Zubaidi Ahmad, masalah angin kebanyakannya berpunca daripada udara yang ditelan dan apabila seseorang dalam keadaan tertekan, mereka lebih kerap menelan udara tanpa disedari.
“Masalah ini disebabkan oleh proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar yang tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Gas yang dihasilkan ialah biasen, nitrogen dan ada kalanya methana.
“Ada beberapa kaedah rawatan bagi menyelesaikan masalah ini. Namun, yang lebih utama ialah kesediaan kita untuk menukar jenis makanan yang dinikmati setiap hari.
“Terutamanya, mengelakkan makanan berangin dan bergas, ambil ubat-ubatan serta cuba menahan diri daripada menelan udara terlalu banyak,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Sehubungan itu, beliau kongsikan lima kaedah yang perlu dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah angin dalam badan seperti berikut:
1- Menukar jenis makanan Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.
Oleh itu, seseorang itu perlu memastikan jenis makanan khusus yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini berdasarkan pengalaman masing-masing.
Bagi sesetengah orang, makanan seperti keledek, nangka, cendawan dan teh menyebabkan angin, tetapi tidak pada orang lain. Sekiranya makanan itu dapat dikenal pasti, hindarkan daripada mengambil makanan tersebut.
Salah satu cara untuk membuang angin dalam badan ialah dengan mengamalkan minuman halia. Halia merupakan petua yang paling mudah dan juga berkesan yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
Minuman halia telah pun dipelbagaikan pada masa kini dan anda boleh menemui minuman halia yang berbentuk bikarbonat dan juga teh.
Namun, adalah lebih baik sekiranya anda minum minuman halia asli kerana ia lebih berkesan untuk membuang angin dalam badan. Anda boleh minum air halia yang dicampur bersama lemon dan madu untuk membantu masalah penghadaman.
2- Ubat-ubatan Ubat-ubatan seperti antacid dan simethicone yang boleh didapati di farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin. Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang mengambil makanan yang biasanya menghasilkan angin.
3- Kurangkan menelan udara
Individu yang mengalami masalah sendawa kronik dinasihatkan supaya kurangkan mengambil gula-gula getah dan gula-gula.
Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap ketika makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya berjumpa doktor gigi untuk memastikan ia sesuai dipakai.
4- Hindari makanan yang menghasilkan angin Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol menghasilkan banyak angin.
Raffinose terkandung dalam makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks manakala bunga kubis, kubis brussel, asparagus, brokoli dan kubis pula mengandungi fruktos.
Laktos ialah gula semula jadi yang terdapat dalam susu dan makanan mengandungi susu seperti keju dan aiskrim.
Fruktos pula banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.
5- Urutan Selain pengambilan ubatan yang sesuai bagi memberikan kelegaan, teknik urutan juga satu daripada kaedah yang dapat membantu rawatan masalah angin.
Melalui teknik urutan yang betul, angin dalam badan seseorang itu mampu dikeluarkan dan ia pastinya memberikan kelegaan kepada orang yang mengalami masalah ini.
Teknik urutan yang betul mampu melegakan atau mengurangkan rasa kurang selesa individu berkenaan. Ada pelbagai jenis masalah angin yang biasa terjadi, antaranya ialah angin dalam badan, di kepala, rahim, perut dan bawah bahu yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa lesu serta mengalami kesakitan.
Masalah angin sekiranya tidak dirawat atau diurut dengan betul bukan saja menyebabkan rasa tidak selesa malah boleh menjadi punca kesakitan atau bisa pada badan atau tempat yang bermasalah itu.
Pengambilan makanan yang betul antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengatasi masalah angin ini.
Apa yang penting adalah kurangkan makanan pedas, berlemak dan minuman berkarbonat kerana itu akan menambah angin selain perlu pastikan minum air masak secukupnya.
Selain itu, amalkan makan buah terlebih dahulu sebelum nasi dan minum air masak sebaik bangun tidur.
Ini adalah antara petua untuk membantu pengambilan buah sebelum mula makan nasi selain minum air masak sebaik sahaja bangun daripada tidur juga antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan masalah angin.
|