|
JOSELU (kiri) meraikan jaringan keduanya ketika bertemu Norway. FOTO AP
Paris: Sepanyol meraih kemenangan 3-0 ke atas Norway yang beraksi tanpa Erling Haaland kerana mengalami kecederaan pada pusingan pembukaan kelayakan Euro 2024, awal pagi tadi.
Dani Olmo menjaringkan gol pembukaan minit ke-13 di Malaga manakala Joselu meledak dua gol pada penampilan sulungnya untuk Sepanyol sekali gus memberikan jurulatih baharu, Luis de la Fuente kemenangan dalam perlawanan pertamanya sebagai pengendali skuad itu.
Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga mempamer persembahan cemerlang untuk menafikan cubaan Fredrik Aursnes pada aksi pertamanya untuk Sepanyol sejak Oktober 2020.
Penyerang Espanyol, Joselu yang masuk dari bangku simpanan menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-84 dan 85.
"Saya masih tidak percaya," kata Joselu, 32, pemain Sepanyol pertama yang menjaringkan dua gol pada penampilan sulung antarabangsa sejak Fernando Morientes pada 1998.
"Bagi setiap pemain ini adalah perkara terbaik yang boleh berlaku. Ia adalah ganjaran untuk kerja keras selama ini."
Sepanyol yang juga juara Eropah tiga kali, seterusnya akan menentang Scotland, yang menewaskan Cyprus 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A selepas Scott McTominay menjaringkan dua gol lewat ketika masuk sebagai pemain gantian di Hampden Park.
Cyprus menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Nicholas Ioannou dilayangkan kad merah kerana mengutip kad kuning kedua pada masa tambahan.
"Ia adalah permulaan yang sangat baik tetapi kami perlu mencuba dan terus konsisten apabila bertemu Sepanyol selepas ini," kata pengurus Scotland, Steve Clarke.
Norway, yang tidak pernah tampil di kejohanan besar sejak Euro 2000, sekali lagi akan kehilangan khidmat penyerang Manchester City, Haaland untuk kunjungan ke Georgia minggu depan kerana masalah pangkal paha.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... baharu-benam-norway |
|