|
ARIF AIMAN HANAPI
PETALING JAYA: Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanafi terus membuktikan dirinya cukup bernilai ketika ini apabila disenaraikan antara ‘wonderkid’ termahal di Asia Tenggara (ASEAN) sekali gus meningkatkan lagi sahamnya.
Menerusi laporan media Thailand Main Stand meletakkan Arif Aiman sebagai antara 11 nama pemain muda bernilai setiap negara ASEAN.
Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu, yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) menduduki di tempat kedua dengan nilai sebanyak 400,000 euro (RM1.86 juta).
Peningkatan nilai Arif Aiman yang sebelum ini adalah RM1.39 juta susulan prestasi memukau dipamerkannya dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) dan penampilannya di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) jelas menyumbang kepada kenaikan saham pemain tersebut.
Musim 2022 menyaksikan Arif Aiman menjadi watak penting buat skuad Harimau Selatan selepas dia mengharungi 38 perlawanan dengan meledak lapan gol dan menghasilkan 20 bantuan jaringan.
Berdasarkan senarai itu, pemain muda Thailand, Suphanat Mueanta dinobatkan paling bernilai apabila berada di kedudukan teratas di Asia Tenggara dengan nilai 700,000 euro (RM3.24 juta).
Suphanat yang baru berusia 20 tahun itu, sudah menjaringkan sembilan gol dalam 22 perlawanan dalam kesemua kejohanan yang melibatkan Buriram United.
Selain itu, turut berada dalam senarai terbabit adalah pemain import Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut dengan nilai sebanyak 175,000 Euro (RM811,017 ribu).
Anak kepada legenda bola sepak Singapura, Ilhan Fandi turut tersenarai yang mana dia menduduki di tangga kelapan dengan nilai sebanyak 150,00 Euro (RM695,203 ribu).-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... rnilai-rm1-86-juta/ |
|