|
PEMAIN Al Hilal dan pegawai mereka meraikan kejayaan menewaskan Flamengo.
Rabat: Bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal memberikan ganjaran bonus 1 juta riyal (RM1.14 juta) kepada setiap pemain Al Hilal selepas mencipta kejutan dengan menewaskan juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 semalam untuk mara ke final Piala Dunia Kelab.
Putera Alwaleed, Pengerusi Kingdom Holding Co, adalah penyokong kuat kelab Arab Saudi itu dan mengumumkan di media sosial beliau akan memberikan jumlah wang yang sama jika mereka menang ketika menentang Real Madrid pada final Ahad ini.
Gergasi Sepanyol itu menewaskan wakil Mesir, Al Ahly 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Sebagai tambahan, saluran sukan negara itu, SSC melaporkan setiap pemain akan mendapat 500,000 riyal (RM574,000) daripada Menteri Sukan selepas menewaskan Flamengo.
Pencapaian itu adalah yang pertama bagi pasukan dari Arab Saudi mara ke final Piala Dunia Kelab dan diraikan sekali lagi oleh kerajaan selepas kemenangan bersejarah ke atas Argentina dalam aksi Piala Dunia pada November lalu.
"Kemenangan ini mengesahkan kemajuan dicapai sukan bola sepak di negara ini," kata Menteri Sukan, Putera Abdulaziz al-Faisal dalam kenyataannya di Saudi Press Agency (SPA).
Al Hilal menang menerusi dua penalti daripada Salem Al Dawsari dan jaringan jarak dekat Luciano Vietto pada babak kedua.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... juta-setiap-seorang |
|