|

Penjawat awam antara tujuh yang ditahan dalam serbuan sindiket penyeludupan dadah oleh OKT yang menyeludup dadah ke dalam lokap penjara. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Johor Bahru: Tindakan seorang penjawat awam membantu orang kena tuduh (OKT) menyeludup dadah ke dalam lokap penjara akhirnya terbongkar apabila polis menemui beberapa balutan dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam OKT di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini, 15 Disember lalu.
Pada kejadian jam 10.30 pagi, anggota polis cawangan mahkamah membuat pemeriksaan ke atas OKT reman Penjara Koreksional Ulu Choh yang selesai menjalani prosiding di mahkamah.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sembilan biji balutan mampat berisi dadah disembunyikan dalam seluar dalam OKT.
Selain itu, ada juga OKT yang menelan sejumlah dadah terbabit.
Hasilnya, enam lagi balutan dadah ditemui selepas OKT terbabit menjalani pembedahan di hospital.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan lima serbuan berasingan di sekitar daerah ini sebelum menahan tujuh suspek, termasuk penjawat awam, dan tiga wanita.
Beliau berkata, taktik digunakan sindiket penyeludupan dadah itu adalah dengan menelan dadah yang dibungkus dalam bentuk 'barrel' untuk dibawa masuk ke dalam penjara selepas selesai prosiding di mahkamah.
Ia kemudiannya diedar di dalam penjara berkaitan.
"Sindiket ini akan menyeludup dadah dengan menggunakan OKT yang dibawa ke mahkamah yang mengambil peluang untuk membawa dadah ke penjara.
"Penjawat awam ini sepatutnya bertugas memastikan perjalanan OKT ke mahkamah, tetapi dia yang jadi petualang.
"Kita percaya dadah ini diberikan kepada OKT ketika transit, sama ada ketika dalam kenderaan yang membawa mereka ke lokap mahkamah atau ketika dibawa keluar ke van atau lori.
"Hasil siasatan lanjut, kita dapati dua bulan lalu, ada tangkapan seumpama ini dan mungkin ada kaitan dengan sindiket terbabit.
"Kita masih siasat bagaimana pembayaran (untuk dadah) ini dibuat, tetapi kita percaya ia dibuat melalui sindiket sama ada tunai atau secara atas talian," katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek yang berusia 25 hingga 37 tahun, dua daripadanya positif Methamphetamine.
Hasil semakan, tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
"Kami turut merampas 44.74 gram ganja dan 28.84 gram syabu bernilai RM5,121 serta merampas wang RM3,800.
"Semua suspek direman enam hari sehingga hari ini (semalam) dan akan disambung reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -seludup-ke-penjara |
|