|
NEYMAR menahan kesakitan sambil diperhatikan oleh pengadil, Alireza Faghani (kanan) ketika membantu Brazil menentang Serbia dalam aksi Kumpulan G, Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Doha semalam. - AFP
DOHA: Brazil membuka kempen Piala Dunia 2022 semalam dengan cara yang diharapkan, menumpaskan Serbia 2-0 untuk mencerahkan peluang dalam Kumpulan G.
Begitupun, kemenangan terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila Neymar mengalami kecederaan, malah bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat menangis di tepi padang selepas dikeluarkan awal.
Penyerang berusia 30 tahun meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut pada babak kedua selepas dikasari pertahanan Serbia, Nikola Milenkovic.
Sejurus dikeluarkan, Neymar tidak mampu menahan sebak apabila menangis di bangku simpanan menahan kesakitan di pergelangan kaki kanannya.
Lebih membimbangkan peminat, pemain itu dilihat membalut pergelangan kaki kanannya dengan beg ais untuk menyurutkan bengkak besar.
KEADAAN buku lali Neymar yang bengkak akibat dikasari lawan.
Pasukan perubatan Brazil perlu menanti selama 24 hingga 48 jam untuk mengenal pasti tahap kecederaan Neymar sebelum memutuskan sama ada pemain itu sempat pulih menentang Switzerland pada Isnin.
Bagaimanapun pengurus pasukan, Tite masih menaruh keyakinan pemain itu dapat meneruskan baki dua perlawanan, termasuk menentang Cameroon.
“Jangan risau, Neymar akan beraksi dalam Piala Dunia, dia masih boleh bermain. Saya beri jaminan mengenai perkara ini,” jelas Tite.
Neymar sudah meledak 75 gol daripada 122 penampilan bersama Brazil hanya kurang tiga gol sahaja untuk melepasi penjaring sepanjang zaman skuad Selecao, Pele. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... asib-tidak-menentu/ |
|