Georgetown: Tujuh kanak-kanak yang juga penghidap barah tahap akhir diraikan dengan diarak menaiki 10 kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Alphard dari Seberang Jaya ke Hotel Hompton By The Beach Penang di Tanjung Tokong di sini, semalam.
Kanak-kanak itu diraikan pada majlis anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) dengan Kelab Vellfire Alphard Northern Community (VANC) dan hotel berkenaan.
Masita Wahab, 45, dari Sungai Petani, Kedah berkata, anaknya, Nurul Amelia Khairul Azman, lima tahun, yang juga pesakit barah Neuroblastoma tahap akhir amat teruja ketika diberitahu mengenai aktiviti berkenaan beberapa hari lalu.
Katanya, hampir setiap masa Nurul Amelia bertanya mengenai majlis yang akan dihadiri dan tidak sabar mahu ke Pulau Pinang.
"Tiada yang lebih menggembirakan bagi kanak-kanak seperti Nurul Amelia selain diraikan dan ia akan menjadi kenangan kepada kami sekeluarga.
Seramai tujuh kanak-kanak mengidap kanser tahap akhir yang diraikan dengan diarak menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Alphard dalam satu majlis di Hotel Hompton By The Beach Penang, Tanjung Tokong di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
"Dia masih kecil dan tidak mengerti mengenai keadaan dirinya, namun kami berserah kepada Allah SWT dan reda dengan setiap yang berlaku," katanya ditemui di lokasi itu.
Nurul Amelia disahkan menghidap penyakit itu tiga tahun lalu dan perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 22 kali.
Namun, ia terpaksa dihentikan ketika rawatan ke-13 berikutan sel barah sudah merebak ke sebahagian badannya.
"Kami juga akan sedaya upaya cuba untuk menunaikan hasratnya yang mahu ke taman tema Legoland di Johor," katanya lagi.
Pada majlis itu, kesemua kanak-kanak berkenaan turut dibawa ke jamuan makan malam dengan selingan pelbagai aktiviti.
Presiden Foccan Maznah Tayib berkata, program berkenaan dianjurkan bagi menghibur dan menunaikan impian kanak-kanak itu.
"Mereka juga diraikan pada majlis makan malam dengan pelbagai aktiviti bagi mencipta kenangan bersama ibu bapa masing-masing," katanya.
Manakala ahli Kelab VANC, Mahfuz Ramli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Foccan beberapa hari lalu dan tidak mengambil masa lama bagi bersetuju serta mengumpulkan 10 ahli lain.