Georgetown: Deruman enjin lebih 700 skuter dan kenderaan klasik memecah suasana Padang Kota Lama, di sini, sejak pagi, hari ini menerusi penganjuran Moto Buruk Garaj (MBG) Vespa Lambretta Jamboree.
Penganjuran itu menghimpunkan pemilik dan peminat kenderaan berkenaan dari seluruh tanah air selain beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura.
Penganjur Mohd Aidzam Alias berkata, ia adalah penganjuran yang pertama kali diadakan di Pulau Pinang dan mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, mereka menerima sebanyak 4,000 penyertaan sejak Mac lalu dan kenderaan itu akan memenuhi kawasan berkenaan selama dua hari sehingga esok.
"Sebelum ini ia banyak kali dianjurkan di sekitar Taiping, Perak dan turut diadakan ialah pelbagai aktiviti seperti pameran, pertandingan, persembahan hiburan, 'herritage ride' dan jualan barangan di sebanyak 25 gerai.
"Matlamat kami ialah mengumpulkan peminat kenderaan ini yang bukan sahaja terdiri daripada pemilik vespa dan lambretta tetapi kenderaan klasik lain selain bertukar pandangan mengenai minat masing-masing," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
PELBAGAI skuter klasik dipamerkan pada penganjuran Moto Buruk Garaj (MBG) Vespa Lambretta Jamboree, di Padang Kota Lama, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Mengulas lanjut Mohd Aidzam berkata, kesemua peserta dan pemilik kenderaan berjaya dikumpulkan sejak Mac lalu.
Katanya, antara model yang dapat dilihat ialah VBB, Super, Sprint, PX, Excel dan lain-lain.
"Tidak ketinggalan ialah skuter klasik yang diubahsuai bagi tujuan pameran, mengikut minat masing-masing.
"Melihat kepada sambutannya, ia akan dianjurkan lagi pada masa akan datang di lokasi lain pula, " katanya.
Sementara itu, pengunjung dari Johor Bharu, Norliana Ramli, 35, ketika ditemui berkata, kunjungannya ke Pulau Pinang bagaikan 'bonus berganda' apabila dapat membawa ayahnya, Ramli Ngah Isa, 67, melihat pameran vespa yang diminati.
"Dulu ayah bersama beberapa kawannya memang gemar berkonvoi skuter klasik dan kini faktor kesihatannya sudah tidak mengizinkan, hanya dapat lepas rindu sahaja," katanya.