|
GAMBAR kenangan Nor Hidayah (kanan) bersama anak sulungnya, Nur Hanan Askayra Afnan Alif sebelum motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan keluarga
Alor Setar: "Mengikut jangkaan, arwah sepatutnya melahirkan bayi keduanya pada 29 Oktober ini namun apakan daya, semuanya sudah tertulis apabila dia terbabit dalam kemalangan Rabu lalu namun bayinya berjaya diselamatkan," kata Arbaiyah Hamzah, 46.
Arbaiyah adalah ibu kepada Nor Hidayah Abdullah, 27, yang meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan kereta selepas mengelak ular melintas di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang (Jalan Jeniang-Sik-Pedu), 4.30 petang Rabu lalu.
Dalam kejadian itu, Nor Hidayah meninggal dunia di tempat kejadian namun bayi lelakinya berjaya diselamatkan menerusi pembedahan di Hospital Sik.
Menurut Arbaiyah, Nor Hidayah menetap di Pulau Pinang bersama suaminya yang bertugas di pulau itu pulang ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya, Sik sejak hujung September lalu kerana mahu pulang lebih awal untuk berehat di kampung dan berpantang di situ.
Katanya, sejak kebelakangan ini arwah banyak berkurung dalam bilik kerana kerap tidak sihat sejak di awal kehamilan lagi.
"Saya tak nampak langsung perubahan arwah sebelum ini kerana dia banyak duduk dalam bilik.
"Cuma pada hari kejadian kami tidak tahu dia pergi menjemput adik perempuannya berusia 16 tahun pulang dari sekolah selepas selesai membuat pemeriksaan kandungan di klinik kesihatan berhampiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Arbaiyah, Selasa lalu, arwah meminta dia masakkan sup ayam kampung kerana teringin untuk makan walaupun sebelum ini dia tidak gemar makan ayam kampung.
Katanya, dia sempat memasak sup ayam kampung itu pada malam itu dan arwah hanya makan sedikit saja untuk melepaskan rasa mengidam.
"Arwah pun tak tahu jantina anak dalam kandungannya kerana setiap kali dia menjalani imbasan, jantina bayi itu tidak kelihatan.
"Lepas ni makcik akan jaga bayi ini bersama anak sulung arwah, Nur Hanan Askayra Afnan Alif, 2 , sebagai pengubat rindu," katanya.
Sementara itu, bapa arwah yang dikenali sebagai Chot, 51, berkata, arwah yang juga anak sulung dari tujuh beradik itu seorang anak yang baik dan taat pada keluarga.
Katanya, sebelum ini, arwah sempat memuat naik status di laman sosial Facebook (FB) iaitu tahun 2020 dia mendapat seorang puteri dan tahun 2022, dia akan mendapat dua orang anak, selepas 44 hari dia akan pergi.
"Saya tak tahu apa maksud status yang dimuatkan oleh arwah tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," katanya.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Beris Jaya, Sik petang, semalam.
Sementara itu, bayi arwah kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... nak-dalam-kandungan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|