Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan lima lelaki tempatan dan merampas rokok seludup, minuman keras dan mercun bernilai RM10.4 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah pada 4 Oktober lalu.
Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata ketika serbuan, lima individu terbabit didapati sedang memunggah barangan berkenaan daripada kontena yang dipercayai tiba dari Vietnam, 2 Oktober lalu.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan pasukan JKDM daripada Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara Pulau Pinang kira-kira jam 6.30 petang.
"Kami turut menemukan dua lori 'bonded' dengan muatan rokok manakala hasil pemeriksaan gudang menjumpai minuman keras dan mercun selain rokok dengan keseluruhan rokok berjumlah 13.58 juta batang bernilai RM1,086,400 dan RM9,071,440 nilai cukai belum dibayar.
"Minuman keras pula berjumlah 21,000 tin dianggarkan bernilai RM41,808 serta cukai berjumlah RM195,466.75 dan tujuh karton mercun bernilai RM1,120 dengan RM728 jumlah cukai tidak dibayar.
"Modus operandinya ialah memanipulasi dokumen kastam selain mengisytiharkan barangan tersebut sebagai tisu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
HAMISAN (dua kanan) menunjukkan antara rampasan rokok, minuman keras dan mercun ketika sidang media di Kompleks Pengegah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Perai. FOTO Danial Saad
Hamizan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1966 dan Akta Eksais 1976. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.
Menurutnya, lima suspek yang bekerja sebagai buruh dan berusia antara 35 dan 46 tahun terbabit sudah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam baru-baru ini.
"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan lain serta tidak terbabit dalam kegiatan seumpama itu.
"Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.