|
Nurliyana Adila menunjukkan bekalan telur yang sudah habis dijual di kedainya di Pekan Pokok Sena dekat Alor Setar semalam.
ALOR SETAR – Krisis bekalan telur ayam di sekitar Pokok Sena dan Padang Terap, dekat sini semakin serius apabila ramai peruncit dan pembekal makanan dikatakan tidak mendapat bekalan yang mencukupi untuk pelanggan mereka.
Keadaan itu menyebabkan ramai yang terpaksa mencari bekalan tersebut di daerah lain.
Peruncit, Mohd. Nasir Mahmud, 56, dari Pokok Sena berkata, dia tidak lagi mendapat jumlah telur yang mencukupi seperti diminta sejak sebulan lalu.
Katanya, pemborong hanya menghantar 25 papan telur pada setiap Isnin dan Khamis, berbanding 40 papan sebelum ini.
“Jadi saya terpaksa menjual secara ‘siapa cepat dia dapat’ dengan bekalan telur habis dalam tempoh sehari sahaja.
“Ada peniaga makanan yang terpaksa menunggu sejak awal pagi bagi membeli bekalan telur untuk berniaga pada hari itu,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, ada pelanggannya terpaksa mencari bekalan telur ayam sehingga ke daerah lain.
“Masalah kekurangan bekalan ini mungkin akan menyebabkan harga telur naik dan ia sudah pasti membebankan pengguna dan peniaga kedai makan,” ujarnya.
Bagi peniaga makanan, Nasri Hashim, 52, dari Kuala Nerang, Padang Terap berkata, ketiadaan bekalan telur menyebabkan ramai peniaga makanan merungut.
“Saya terpaksa ke beberapa tempat bagi mendapatkan bekalan untuk berniaga. Setiap hari saya gunakan sebanyak 100 biji telur untuk pelbagai menu.
“Jika tidak dapat buat menu yang ditawar, ia sudah pasti akan menjejaskan perniagaan. Apabila bertanya kepada peniaga bila masalah ini akan berakhir, mereka jawab tidak pasti,” jelasnya.
Tambahnya, setiap hari dia terpaksa mencari bekalan telur di lima ke 10 kedai, malah ada pekedai mula mencatu 10 biji telur untuk setiap pelanggan.
https://www.kosmo.com.my/2022/10 ... yam-semakin-serius/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|