Georgetown: Polis dan masyarakat berpisah tiada. Slogan itu tepat dengan keprihatinan ditunjukkan dua anggota polis yang membantu seorang wanita warga emas menyeberangi jalan.
Keprihatinan Koperal Arif Mohamed dan Lans Koperal Mohd Saiful Sudirman dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut mendapat pujian masyarakat.
Menerusi perkongsian di Facebook, anggota polis terbabit membantu wanita terbabit melintas dan mengawal lalu lintas berhampiran Pasar Lebuh Cecil di Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Difahamkan wanita terbabit menuju ke sebuah restoran untuk menjamu selera.
Malah tindakan anggota polis terbabit juga menerima tepukan daripada beberapa pelanggan restoran.
"Sifat ihsan yang ditonjolkan anggota polis terbabit dengan mendukung dan seterusnya memapah warga emas terbabit menyeberangi jalan membuktikan warga Sang Saka Biru begitu mengambil berat keselamatan orang awam tanpa mengira tempat dan ketika," kata hantaran di FB Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tindakan spontan itu juga mendapat pujian netizen yang memuji keprihatinan anggota terbabit.