|
Batu Maung: Bulan ini sahaja sudah empat kali banjir sekali gus menyebabkan kira-kira 80 penduduk di Kampung Naran di sini, resah setiap kali berlaku air pasang dan hujan lebat.
Pelbagai aduan sudah disalurkan kepada pihak berkenaan, namun masih tiada tindakan berkesan diambil malah keadaan bertambah buruk.
Penduduk, Teoh Sey Han, 74, berkata, rumahnya antara lebih 20 buah rumah yang sering terjejas akibat banjir sejak beberapa tahun lalu dan kini mendakwa semakin buruk kerana turut membawa lumpur berwarna kehitaman dan berbau busuk.
"Kali terakhir rumah ini dimasuki air ialah pada Sabtu lalu sekitar jam 2 pagi dan berikutan sudah uzur, saya hanya mampu menyelamatkan diri dengan dibantu jiran.
"Bimbang dilanda banjir lagi, beberapa perkakasan dan kelengkapan rumah diletakkan di tempat tinggi manakala peti sejuk, kusyen serta mesin basuh pula dilapik dengan bata supaya tidak terkena air.
"Dengan usia ini, memang saya tidak dapat bersihkan rumah seorang diri dan hanya menunggu bantuan anak sulung yang tinggal di Seberang Perai serta jiran terdekat," katanya yang tinggal seorang diri sejak kematian suami lebih 20 tahun lalu.
Bagi Lim Chun Leong, 57, pula berkata, bukan sahaja kerosakan harta benda, air yang mencecah paras 0.7 meter juga turut merosakkan tanah di halaman rumah.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada saliran air di bahagian belakang rumah penduduk yang tidak dibuat dengan sempurna.
"Hanya sejam hujan, air sudah melimpah masuk ke rumah penduduk dan apabila surut, lumpur turut melekat di lantai, dinding serta barangan di rumah.
"Pernah juga terserempak ular sawa sepanjang lebih dua meter di dalam air ketika banjir baru-baru ini.
"Setiap kali hujan, fikiran tak tenang dan kami harap pihak berkenaan dapat selesaikan masalah ini dengan segera, katanya ketika ditemui, di sini.
Terdahulu, penduduk berkenaan ditemui ketika membuat aduan kepada wakil MCA Pulau Pinang merangkap Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung.
Yee Fung berkata, pihaknya difahamkan terdapat projek tebatan oleh pihak kerajaan negeri sedang dijalankan berhampiran rumah penduduk.
TEOH Sey Han menunjukkan foto paras air di rumahnya dalam kejadian banjir baru-baru ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lam-sebulan-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|