BUTTERWORTH - Polis menafikan kemalangan dua buah motosikal yang berlaku di Jalan Perusahaan Lokan di sini sepertimana tular di media sosial disebabkan dikejar polis dari unit ronda bermotosikal (URB).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 5.20 petang Rabu lalu.
Menurutnya, tidak berlaku aksi mengejar oleh anggota URB terhadap salah seorang penunggang motosikal hingga menyebabkan kemalangan.
"Ketika kejadian anggota URB sedang melakukan tugas rondaan dan dalam perjalanan menghala Jalan Sungai Dua melalui Jalan Sungai Lokan.
"Berdasarkan rakaman video tular itu juga jelas menunjukkan mangsa telah memotong anggota URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.
Mohd Radzi berkata, anggota URB juga telah memberi bantuan kepada kedua-dua mangsa dan membuat kawalan trafik di lokasi kemalangan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian sendiri tanpa usul periksa kebenaran sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang lain.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Sabtu tular video kemalangan dua motosikal yang didakwa berpunca disebabkan dikejar anggota URB.
Video berdurasi 40 saat itu turut menyebabkan ramai pengguna laman sosial membuat andaian sendiri dan termasuk menyalahkan anggota URB yang terlibat.