GEORGETOWN - Seramai 2,204 nelayan zon A yang berdaftar di Pulau Pinang menerima RM400 bantuan pukat daripada kerajaan negeri.
Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM881,600 kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang pada 13 Jun 2022.
Menurutnya, LKIM akan membuat pembayaran ke akaun 2,204 nelayan yang layak dalam tempoh terdekat.
"Penerima merupakan nelayan Zon A yang terdiri daripada penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi kelulusan bayaran Januari 2022 yang menepati syarat-syarat yang di tetapkan.
"Pengagihan bantuan tunai ini melibatkan nelayan-nelayan dari kawasan DUN Teluk Bahang, Tanjung Bungah, Pulau Betong, Bayan Lepas dan Batu Maung di bahagian Pulau manakala di daerah Seberang Perai, bantuan akan diagihkan kepada nelayan dari kawasan Penaga, Bukit Tambun,Bukit Tengah, Sungai Acheh dan Bagan Jermal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 2020, Dr Norlela telah menyalurkan Bantuan Pukat Kepada Nelayan bernilai RM400 kepada 5,814 orang nelayan dan awak-awak dengan menelan belanja sebanyak RM 2.325 juta ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, bantuan pukat yang disalurkan secara tunai pada 2022 ini telah dicadangkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Unit-Unit Nelayan untuk bantu nelayan membeli pukat ikut keperluan nelayan masing-masing.
Beliau berharap dengan bantuan yang diberikan akan dapat meringankan beban melancarkan lagi urusan mereka dalam mencari rezeki.