Batu Maung: Hujan selama hampir satu jam sudah cukup menyebabkan rumah penduduk di Kampung Permatang Tepi Bendang, di sini, dinaiki air.
Keadaan yang berlaku sejak tiga tahun lalu itu meresahkan penduduk terutama setiap kali musim hujan sekali gus menyebabkan mereka tidak lena tidur berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Penduduk, Ghazali Ismail, 52, berkata, Kampung Permatang Tepi Bendang, pernah dinaiki air enam kali dalam tempoh lima bulan tahun lalu.
Katanya, kejadian kerap berulang itu menyebabkan rumahnya tidak lagi dilengkapi perabot manakala almari, katil atau mesin basuh terpaksa dialaskan dengan bata supaya supaya tidak rosak dimasuki air.
"Sebelum ini tidak pernah berlaku banjir, cuma sejak tiga tahun lalu, kejadian itu semakin kerap dan ada yang melebihi paras lutut (0.3 meter) dan pinggang.
"Beberapa kali saya terpaksa buang perabot yang rosak akibat ditenggelami air dan kini rumah saya tidak lagi dilengkapi perabot," katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu Amri Majid, 34, berkata, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada kerja penambakan paya setinggi dua meter berhampiran kampung terbabit sehingga alirannya tersekat.
Katanya, tiga tahun lalu ada individu datang ke situ dan mendakwa daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang mahu menjalankan projek penambakan paya serta berjanji mahu membina saliran yang baik supaya tidak timbul masalah.
"Namun perkara sebaliknya berlaku selepas kawasan itu ditambak apabila air paya yang tidak dapat mengalir, melimpah ke rumah penduduk," katanya lagi.
Sementara itu, Adun Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussein Abdul Halim berkata, pihaknya akan menjalankan kerja mengorek paya berkenaan bagi membentuk saliran serta akan diselesaikan secepat mungkin.
"Tiga agensi terbabit dalam projek berkenaan iaitu PDC, Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP). Kerja bagi projek berkenaan sudah diputuskan dalam satu mesyuarat pada minggu lalu," katanya ketika dihubungi di sini.