BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah wanita warga asing dipercayai melarikan diri bersama sejumlah barangan kemas bernilai RM69,000 kepunyaan majikannya di Taman Bukit, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Assisten Komisioner Tan Cheng San, berkata polis menerima laporan yang dibuat seorang doktor berusia 33 tahun memaklumkan pembantu rumahnya berusia 27 tahun melarikan diri.
"Pengadu tampil membuat laporan polis selepas isterinya yang juga berusia 33 tahun menyedari ketiadaan pembantu rumah mereka kira-kira jam 6 pagi Selasa lalu.
"Namun, ketika itu (semasa buat laporan polis) pengadu dan isterinya tidak menyangka terdapat barangan kemas yang disimpan dalam almari berkunci di sebuah bilik rumah mereka turut dilarikan pembantu rumah terbabit.
"Ia hanya disedari isteri pengadu selepas dua hari pengadu membuat laporan polis yang mana pada ketika itu isteri pengadu mahu memakai barang kemas berkenaan tetapi sudah tiada," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan polis ke atas almari di rumah mangsa tidak menemui sebarang kesan umpil yang dipercayai suspek mempunyai kunci bagi membuka almari itu.
"Dalam almari itu terdapat dua gelang emas, lima rantai emas, empat subang dan loket yang keseluruhannya bernilai RM69,000.
"Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan di rumah jiran mangsa mendapati suspek telah melarikan diri kira-kira jam 1 pagi pada hari kejadian dan ada sebuah kereta telah mengambil suspek yang kita turut dalam usaha menjejaki kenderaan berkenaan.
"Menurut mangsa, suspek bekerja dengan mereka selama tiga bulan yang mana mangsa menggajikan sendiri suspek tanpa menggunakan khidmat ejen.
"Di rumah terbabit hanya ada mangsa (pasangan suami isteri serta dua anak mereka berusia empat dan tujuh tahun," katanya.
Dalam pada itu, Cheng San berkata, suspek dikenali sebagai Eka Lestari melarikan diri bersama passport namun polis percaya dia masih berada dalam negara dan usaha menjejaki wanita itu kini sedang giat dilakukan pihak polis.
"Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan sebarang maklumat yang ingin dimaklumkan boleh berhubung dengan Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail ditalian 019-2909231," katanya.