View: 640|Reply: 0
|
KL City juara Zon ASEAN selepas singkir Makassar
[Copy link]
|
|
Pemain KL City FC, Romel Morales meraikan jaringannya selepas menewaskan penjaga gol PSM Makassar, Muhd Reza Pratama ketika perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
KUALA LUMPUR: KL City FC meneruskan kemaraan ke pentas Piala AFC 2022 selepas menundukkan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 untuk bergelar juara Zon ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.
Pencapaian itu menyaksikan skuad bimbingan Bojan Hodak itu menjadi pasukan pertama dari Malaysia memenangi final Zon ASEAN selepas pertandingan terbabit diformat semula pada edisi 2017.
Bagaimanapun mereka cemas apabila kelebihan tiga gol yang dimiliki hampir 'dipotong' PSM Makassar sebelum tuan rumah berjaya menambah satu lagi gol lewat permainan untuk menamatkan perlawanan lebih selesa.
Kapten KL City FC, Paulo Josue mengasak pemain PSM Makassar, Kenzo Nambo ketika perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pada aksi terbabit, Romel Morales memiliki beberapa percubaan terbaik namun diselamatkan Muhammad Reza Pratama pada minit ke-13 sebelum pertahanan PSM Makassar menghalang percubaan penyerang itu di hadapan mulut gol mereka (minit ke-20).
Selepas beberapa kali dikecewakan, gol akhirnya hadir buat Morales apabila penyerang dari Colombia itu akhirnya membuka jaringan buat KL City FC menerusi voli bermula dari tandukan Zhafri pada minit ke-33.
Ketika PSM Makassar ghairah memburu gol penyamaan, mereka kehilangan bola dan kesempatan itu digunakan tuan rumah untuk melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan Jordan Mintah di penghujung babak pertama.
Bersambung babak kedua, Paulo Josue menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 3-0 namun Yakub Sayuri mengurangkan defisit menerusi rembatan deras pada minit ke-58.
Pemain KL City FC, Akram Mahinan (kiri) mengasak pemain PSM Makassar, Arfan ketika perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
PSM Makassar kembali 'bernyawa' apabila berjaya mendapatkan gol kedua hasil jaringan Akbar Tanjung pada minit ke-63 - KL City FC kini hanya berkelebihan satu gol ketika saingan berbaki setengah jam lagi.
Josue akhirnya memadam kebangkitan PSM Makassar selepas meledak gol keempat pada minit ke-84 sebelum Hadin Azman melengkapkan malam bergaya KL City FC menerusi satu lagi sepakan penalti di hujung babak kedua.
Selepas ini, KL City FC sepatutnya bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon namun penyertaan pasukan itu dibatalkan susulan penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persekutuan Bola Sepak India (AIFF).
Jadi KL City FC boleh dianggap bertuah memandangkan mereka mungkin akan terus ke final Piala AFC Antara Zon untuk bertemu sama ada wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh atau wakil Hong Kong, Eastern.
Pemain KL City FC meraikan kemenangan selepas menewaskan PSM Makassar 5-2 ketika perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
https://www.bharian.com.my/sukan ... as-singkir-makassar |
|
|
|
|
|
|
| |
|