|

Datuk Kamarul Zaman Mamat
Johor Bahru: Ubah suai lori dan pasang suis khas untuk sedut minyak. Itu modus operandi digunakan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lori digunakan sindiket dalam aktiviti ini kelihatan biasa jika dipandang daripada luar.
"Tangki dalam lori yang digunakan mereka ini akan diubah suai dan dipasang suis khas. Kita akan lihat mereka mengisi tangki seperti biasa sahaja daripada pandangan luar, tetapi apabila suis dihidupkan ia akan menyedut diesel ke tangki dalam lori.
"Setiap lori boleh memuatkan sehingga enam tangki yang boleh mengisi 1,000 liter setiap satu tangki," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sindiket itu biasanya akan membuat isian penuh diesel di stesen-stesen minyak berdekatan dengan stor penyimpanan mereka.
Katanya, tahun ini sahaja, seramai 84 orang sudah ditahan polis termasuk 20 warga asing dan turut ditahan seorang wanita dengan lima sindiket berjaya ditumpaskan.
Selain itu, katanya, polis turut merampas 46 lori, 44 mesin pam minyak, 33 tangki plastik, 20 telefon, 15 treler, lapan tangki besi, lapan hos minyak, masing-masing dua buah kereta, van, kapal, set generator dan sebuah bot.
"Sebanyak 937,215 liter diesel dirampas membabitkan nilai lebih RM2.015 juta.
"Manakala, nilai keseluruhan diesel dan barang rampasan lain mencecah lebih RM37.081 juta," katanya.
Menurut beliau, hasil daripada tangkapan dibuat sepanjang tahun ini, pihaknya dapat mengenal pasti antara dalang kepada sindiket seumpama itu adalah di kalangan ahli perniagaan dan ada juga yang bergelar Datuk.
Bagaimanapun, katanya hasil semakan mendapati sindiket ini hanya menumpukan kepada penyeludupan diesel dan tidak terbabit dengan penyeludupan barangan lain seperti minyak masak atau gas memasak.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, diesel industri kini berharga RM4.20 hingga RM4.66 seliter.
"Sindiket ini akan menjual semula minyak dengan harga di bawah harga pasaran minyak industri sebelum dijual dari stor kepada pembeli dengan jumlah yang besar pada harga kira-kira RM2.55 seliter.
"Lori tangki akan membawa diesel untuk dijual kepada pembeli sama ada untuk kegunaan industri atau dijual ke kapal minyak di laut," jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan penyeludupan diesel yang disyaki diselewengkan bagi pasaran industri di seluruh negara atau dijual ke pasaran antarabangsa.
Katanya, polis akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan atau ketirisan diesel yang menyebabkan kerugian kepada masyarakat dan negara itu.
"Kita memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit supaya menghentikan kegiatan ini kerana polis tidak akan berkompromi serta akan terus menjejaki mereka.
"Masyarakat juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-diesel-bersubsidi |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|