CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1905|Reply: 1

[DUNIA] Aileen Wuornos: Abused Turned Abuser (Bahagian 1)

[Copy link]
Post time 21-8-2022 02:04 AM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by AnnaSendin at 21-8-2022 02:15 AM

Setelah saya buat literature review di forum ini, tidaklah saya temui penulisan tentang Aileen Wuornos. Kisahnya sangat menarik untuk dibaca dan ditonton kerana ia berkait dengan kesan layanan terhadap kanak-kanak terhadap perkembangan mental dan emosi seseorang.

Aileen Wuornos ialah seorang pelacur jalanan dan pembunuh bersiri wanita yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Agung Florida atas kesalahan membunuh 7 orang lelaki yang dipercayai melanggan Wuornos untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Wuornos dikenakan suntikan maut pada 9 Oktober 2002 di Penjara Florida.

Mangsa-mangsa Wuornos adalah:
1. Richard Mallory, 51 tahun
Seorang pemilik kedai barangan elektronik yang menjadi mangsa pertama Wuornos. Wuornos ketika perbicaraan telah mengatakan dia membunuh Mallory atas dasar untuk mempertahankan diri.
Mallory telah mengugut untuk membunuhnya jika Wuornos tidak menurut kemahuannya.
Dia juga memukul dan merogol Wuornos termasuklah melakukan seks luar tabii secara paksa. Wuornos telah menembaknya sebanyak 2 kali di bahagian paru-paru kiri dan beberapa tembakan di anggota badan lain. Cerita ini hampir dipercayai oleh masyarakat kerana Mallory mempunyai rekod cubaan merogol di Maryland, Amerika Syarikat. Namun, dalam temubual terakhir, Wuornos mengaku bahawa dia mereka cerita tersebut.
2. David Spears, 47 tahun, buruh binaan
Ditembak sebanyak 6 kali.
3. Charles Carskaddon, 40 tahun, pekerja sambilan di pertandingan rodeo (pertandingan menguji bakat haiwan ternakan seperti kuda, lembu dan kerbau)
Wuornos telah mencuri pistol milik Carskaddon dan menjual di kedai pajak gadai. Dia telah ditembak sebanyak 9 kali.
4. Peter Siems, 65 tahun, persara pedagang laut
Wuornos telah mencuri keretanya setelah lelaki itu dibunuh. Wuornos kemudian terlibat dalam kemalangan dan meninggalkan kereta itu kerana takut jenayahnya terbongkar. Mayat Siems tidak ditemui oleh polis sehingga kini. Kemalangan tersebut membuatkan Wuornos dan teman wanitanya diburu polis kerana terdapat laporan daripada orang ramai tentang mereka yang mencurigakan. Lakaran wajah mereka diedarkan kepada orang ramai. Cap jari juga ditemui pada pintu kereta itu dan berpadanan dengan cap jari Wuornos yang diambil oleh pihak polis ketika Wuornos ditangkap atas kes yang dilakukan sebelumnya.
5. Troy Burress, 50 tahun, penjual sosej
Ditembak sebanyak 2 kali.
6.  Charles "Dick" Humphreys, 56 tahun, persara tentera udara U.S., bekas penyiasat bahagian keganasan terhadap kanak-kanak negeri dan bekas ketua polis.
Ditembak sebanyak 7 kali di bahagian kepala dan badan.
7. Walter Antonio, 62 tahun, pemandu lori trak, pengawal keselamatan dan pegawai polis simpanan
Ditembak sebanyak 4 kali

Sehingga kini, ramai yang bersimpati dengan wanita bernama Aileen Wuornos ini kerana sejak dari dia dilahirkan pada 29 Februari 1956 di Rochester, Michigan, Amerika Syarikat, dia tidak mendapat perhatian dan kasih-sayang yang sepatutnya daripada ahli keluarganya. Ibunya, Diane Wuornos dan bapanya, Leo Pittman telah berkahwin pada 1954 ketika usia 14 dan 18 tahun. Setelah berkahwin selama satu tahun lebih, Diane Wuornos kemudian memfailkan penceraian.  Setelah 4 tahun Wuornos dilahirkan, ibunya telah meninggalkan suaminya dan menghantar Wuornos dan abangnya yang bernama Keith ke rumah datuk dan nenek Wuornos. Sejak dari hari itu, Wuornos dan abangnya tidak pernah bertemu dengan ibunya. Ayahnya pula telah dipenjarakan atas tuduhan salahlaku seksual terhadap kanak-kanak berumur 7 tahun dan membunuh diri di penjara pada 30 Januari 1969.

Datuk dan nenek mereka seorang pemabuk. Datuknya sering memukul Wuornos dan abangnya. Wuornos mendakwa bahawa datuknya selalu melakukan gangguan seksual apabila menyuruh Wuornos menanggalkan pakaian sebelum dia dikenakan hukuman. Wuornos mula terlibat dalam aktiviti secara seksual bersama-sama kanak-kanak lelaki semasa dia berusia 11 tahun sebagai bayaran untuk mendapatkan rokok, dadah dan makanan. Malah, Wuornos melakukan perihal yang sama dengan abangnya sendiri atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru. Namun, Wuornos sukar mendapatkan rakan yang setia kerana sikapnya yang panas baran dan sering marah-marah walaupun tentang perkara yang remeh-temeh. Dia dilayan seperti sampah oleh kanak-kanak lelaki itu, tidak dihormati dan hanya diperlukan sebagai objek seks sahaja.

Wuornos didapati telah mengandung pada usia 14 tahun. Dia dihantar ke rumah perlindungan perempuan dan melahirkan seorang bayi lelaki pada 23 Mac 1971. Tidak diketahui bapa sebenar kepada bayi tersebut namun Wuornos mendakwa rakan datuknya telah merogolnya. Tetapi yang sadisnya, Wuornos tidak dapat melihat bayinya kerana bayi tersebut terus diserahkan untuk dijadikan anak angkat. Dia juga telah berhenti sekolah.

Satu lagi berita yang menyedihkan bagi pasangan adik-beradik itu ialah apabila nenek yang menjaga mereka meninggal dunia pada tahun yang sama Wuornos melahirkan bayinya. Mereka telah dihalau keluar oleh datuknya setahun selepas itu. Terpisahlah dua adik-beradik itu di mana Keith Wuornos tinggal bersama-sama rakannya manakala Wuornos telah tinggal di dalam hutan berdekatan rumah datuknya dan mendapatkan duit dengan menjadi pelacur jalanan.

Pada tahun 1976, Wuornos telah mengembara ke Florida dengan menaiki kereta seseorang. Di sana, dia bertemu dengan seorang lelaki tua berusia 69 tahun yang kaya dan merupakan Presiden Kelab Kapal Layar bernama Lewis Gratz Fell. Mereka berkahwin tidak lama selepas itu. Semasa menjadi isteri orang, Wuornos terus membuat onar di kelab malam yang dikunjunginya disebabkan sifat panas barannya yang tidak terkawal. Dia juga telah memukul suaminya menggunakan tongkat orang tua itu, menyebabkan suaminya memfailkan perintah larangan mendekatinya di mahkamah. Dalam masa yang sama, Wuornos mendapat tahu bahawa abangnya, Keith telah meninggal dunia akibat barah esofagus dan sekaligus membuatkan Wuornos menerima 10 000 dollar melalui insurans nyawa abangnya. Wuornos dan suaminya membubarkan perkahwinan setelah 9 minggu berkahwin.

Dengan wang peninggalan abangnya, Wuornos telah membayar saman atas kesalahan memandu secara mabuk dan selebihnya membeli sebuah kereta. Namun, Wuornos telah merosakkan kereta itu apabila dia terlibat dalam kemalangan.

Dia kembali menjadi pelacur jalanan dan menumpang kereta orang yang lalu-lalang di jalan raya untuk mengembara. Wuornos terlibat dalam pelbagai jenis jenayah seperti rompakan bersenjata, pemalsuan cek, mencederakan orang, dan memandu dalam keadaan mabuk. Dia sering keluar masuk penjara atas kesalahan-kesalahan itu sehinggalah tahun 1986 apabila dia bertemu dengan seorang pembersih hotel bernama Tyria Moore, 24 tahun ketika dia mengunjungi Kelab Gay bernama Zodiac di Pantai Daytona. Mereka jatuh cinta dan membuat keputusan untuk tinggal bersama-sama. Wuornos menyara kehidupan mereka dengan meneruskan kerjayanya sebagai seorang pelacur manakala Moore mengambil upah membersihkan bilik-bilik hotel.

Usia Wuornos dan rupanya yang tidak secantik dahulu menyebabkan perniagaan Wuornos merosot dan Moore pula memaksa Wuornos untuk mencari wang dengan lebih banyak untuk menanggung perbelanjaan mereka yang rata-rata digunakan untuk berjimba. Tambahan pula Wuornos bukanlah berpakaian seperti gadis jalanan yang mengenakan mini skirt. Dia hanya memakai jeans dan t-shirt dengan tidak bersolek. Di sinilah bermulanya siri pembunuhan Wuornos. Demi cinta dan kegembiraan satu-satunya wanita yang dianggap Wuornos sebagai insan yang menyintai dan mengambil berat terhadapnya, dia sanggup melakukan apa sahaja...

Negara Uncle Sam itu digemparkan dengan penemuan beberapa mayat dan kenderaan terbiar di beberapa hutan. Pasukan penyiasat telah digerakkan untuk mencari dalang kepada kes pembunuhan tersebut. Pihak polis mengesyaki pembunuhan-pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelaku atas alasan persamaan dalam gaya menamatkan riwayat mangsa. Apabila polis menemukan kereta milik Carskaddon yang dicuri dan digunakan Wuornos dan teman wanitanya, polis telah menemui kesan cap jari dan mendapati ia sama dengan cap jari Wuornos yang direkodkan ketika dia ditangkap atas jenayah lampau dan cap jari yang terdapat di resit kedai pajak gadai yang pernah dikunjunginya. Polis juga menemui barang-barang milik mangsa yang dijual oleh Wuornos di kedai pajak gadai (pawnshop).

Apabila lakaran wajah Wuornos dan Moore dipaparkan di televisyen dan diedarkan kepada orang ramai, Moore menjadi cemas dan melarikan diri ke kampung halamannya. Tinggallah Wuornos berseorangan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Wuornos yang masih berduka lara itu telah menghabiskan masa di beberapa buah kelab malam dan berjumpa dengan seorang lelaki yang berminat mahu menjadikannya sebagai teman. Wuornos walaubagaimanapun menjadikan lelaki itu sebagai tempat dia bergantung untuk mendapatkan duit. Di satu bar pada 9 Januari 1991 ketika Wuornos dan teman lelaki barunya berjalan keluar, tiba-tiba segerombolan polis meluru ke arah mereka dan menangkap mereka untuk dibawa ke balai polis. Mereka menjadi tidak keruan dan terkejut atas tindakan polis itu. Semasa di dalam kereta polis, lelaki itu bertanya kepada Wuornos tentang apa yang telah dilakukan. Wuornos menjawab, mungkin anda adalah salah seorang daripada mereka (polis). Ya, tekaan Wuornos tepat. Lelaki itu sebenarnya seorang anggota polis yang menyamar sebagai penunggang motor besar untuk mengintip gerak geri Wuornos. Dan ironinya, bar itu bernama 'The Last Resort' di mana di situlah Wuornos tempat terakhir dia berlindung daripada pihak polis dan menikmati kebebasannya sebelum ditangkap.


Pada awalnya, polis tidak mampu untuk menangkap Wuornos atas dasar membunuh tujuh orang lelaki. Yang polis ada hanyalah bukti mengatakan Wuornos telah mencuri senjata dan kereta mangsa. Polis kemudian telah mengesan kedudukan Tyria Moore iaitu di Pennsylvania dan memintanya menjadi saksi dan membantu pihak polis untuk mendapatkan pengakuan daripada Wuornos bahawa dia telah membunuh lelaki-lelaki itu. Sebagai ganjaran, Moore akan mendapat imuniti atau kekebalan daripada pihak polis dan tidak akan disabitkan dengan apa-apa kesalahan berkaitan kes itu. Moore bersetuju dan dibawa ke sebuah motel di Florida untuk menelefon dan menjawab panggilan daripada Wuornos di bawah pengawasan polis.

Sepanjang Wuornos di dalam penjara di Florida, Moore telah beberapa kali menelefonnya dan meminta Wuornos agar membersihkan namanya daripada tuduhan bersubahat. Moore menyatakan bahawa dia sangat takut kerana diganggu oleh pihak polis. Akhirnya selepas 3 hari, Wuornos meminta Moore untuk menceritakan hal sebenar supaya Moore boleh hidup dengan tenang dan dia mengaku bahawa dia membunuh lelaki-lelaki itu atas alasan mempertahankan diri.

[bersambung bahagian 2]

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-8-2022 04:46 AM From the mobile phone | Show all posts

Aileen Wuornos: Abused Turned Abuser (Bahagian 2)

Edited by AnnaSendin at 21-8-2022 04:48 AM

Ini adalah sambungan kepada kisah Aileen Wuornos: Abused Turned Abuser (Bahagian 1). Kepada sesiapa yang terlepas atau tak tahu, boleh klik atau copy paste link ini:

https://b.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=5059112&extra=page%3D1&mobile=2
Setelah Wuornos memberi lampu hijau kepada teman wanitanya, Tyria Moore untuk menceritakan perihalnya membunuh lelaki-lelaki itu atas dasar pertahanan diri, Moore lebih terbuka kepada pihak polis. Kerjasama daripada Moore telah menyelamatkannya daripada dikenakan sebarang hukuman di sisi undang-undang.

Pada November 1991, Wuornos telah dijadikan anak angkat oleh seorang wanita bernama Arlene Pralle yang berusia 44 tahun setelah wanita itu melihat gambarnya di surat khabar. Pralle menyatakan bahawa dia mahu Wuornos merasakan hidup dalam keadaan berkeluarga, berasa disayangi dan dia selalu memberikan motivasi untuk Wuornos agar terus hidup mengikut ajaran Kristian. Namun beberapa tahun selepas itu, Pralle tidak lagi mengunjungi Wuornos setelah Wuornos menuduh Pralle bahawa dia tidak ikhlas menjadikan Wuornos sebagai anak angkat tetapi ingin mengambil kesempatan dengan membuat sebuah muzium tentang dirinya dan menjual barang-barang berkaitannya.

Pada sidang perbicaraan untuk kes pembunuhan Richard Mallory pada 14 January 1992, Wuornos telah menyatakan bahawa dia membunuh  Mallory kerana lelaki itu cuba memperkosanya dan telah mengugut untuk membunuhnya sekiranya Wuornos tidak patuh akan arahan lelaki itu. Paling menyedihkan Wuornos ialah apabila Moore, bekas kekasihnya telah datang dan membuat pengakuan tentang pembunuhan Richard Mallory yang dilakukan oleh Wuornos. Disebabkan kenyataan itu dan juga ketidakstabilan perangai dan mental ketika sidang perbicaraan, Wuornos dijatuhkan hukuman mati atas keputusan juri.

Walaupun pihak pembelaan yang diketuai oleh Tricia Jenkins itu telah menyediakan bukti bahawa Mallory mempunyai rekod jenayah seksual, mahkamah menolak rekod tersebut untuk dijadikan sebagai bukti pertahanan diri. Pakar psikiatari bagi pihak pembelaan juga telah membuat pengesahan bahawa Wuornos mempunyai kecelaruan personaliti pinggiran (borderline personality disorder) personaliti anti-sosial yang menyebabkan mentalnya tidak stabil. Pembelaan itu juga ditolak.

Wuornos menjadi kecewa akan sistem kehakiman dan masyarakat sekelilingnya. Dengan itu, dia menolak untuk dibicarakan atau 'plead no contest' atas semua kesalahan kecuali pembunuhan Peter Siems kerana pembunuhan tidak boleh disabitkan jika tiada mayat ditemui.

Pada tahun 2001, Wuornos meminta mahkamah untuk menghentikan segala proses pembelaan yang telah membazirkan wang negara hasil cukai  daripada rakyat. Dia juga mengaku bahawa dia membunuh dengan niat untuk merompak dan menghapuskan bukti. Dalam satu temuramah, Wuornos menyatakan dia membunuh untuk duit dan kenderaan yang boleh dibawanya kemana-mana. Dia juga menyatakan bahawa dia benci akan sesetengah lelaki yang telah menyebabkan hidupnya sengsara dan musnah. Wuornos juga mendakwa tiada faedah untuk membiarkannya terus hidup kerana dia akan membunuh lagi jika diberi peluang. Dia telah benci kepada sistem dan masyarakat.

Pada tahun 2002, Wuornos telah mendakwa bahawa dia telah mendapat layanan buruk daripada warden  ketika di penjara. Dia merasakan makanannya dicampuri air kencing, pasir dan air liur. Tekanan air di selnya direndahkan, gari yang ketat, pemeriksaan warden melalui tingkap sel dengan kerap, dingorat dengan panggilan yang menggoda (cat calling) dan pintu selnya yang selalu disepak. Dia juga terdengar bahawa warden-warden di situ mahu membuatkannya hilang pertimbangan dan membunuh diri. Dia mengadu kepada Nick Broomsfield, wartawan yang sering menemubualnya bahawa kepalanya menjadi perit akibat satu tekanan dipanggil tekanan sonik. Wuornos menuduh bahawa terdapat pegawai-pegawai polis yang cuba untuk mendapatkan tawaran daripada pihak penerbit untuk membuat filem berkenaan dirinya. Moore juga mahu berbuat demikian tetapi usahanya gagal.

Dalam temubual terakhirnya bersama Broomfield, Wuornos telah mengakui bahawa dia mahu mati dalam keadaan tidak dipengaruhi oleh syaitan dan dalam keadaan menipu. Dia telah membunuh semua mangsanya dalam keadaan sengaja untuk merompak, menghapuskan bukti dan merampas kenderaan mereka.

Namun, terdapat cerita bahawa setelah rakaman dihentikan, Wuornos berkata bahawa dia sudah penat. Walaupun dia membunuh untuk pertahanan diri, baik sahaja dia mengaku bahawa dia membunuh secara terancang.

Wuornos menjalani hukuman mati dengan cara suntikan maut pada 9 Oktober 2002 dan meninggal dunia pada pukul 9:47 pagi. Dia enggan menjamah makanan terakhir dan hanya minum secawan kopi. Kata-kata terakhirnya ialah;
"Yes, I would just like to say I'm sailing with the rock, and I'll be back, like Independence Day, with Jesus. June 6, like the movie. Big mother ship and all, I'll be back, I'll be back."

Mayatnya dibakar dan abunya diserakkan di sekeliling sebuah pokok di tempat kelahirannya di Michigan oleh rakan sepermainannya semasa kanak-kanak, Dawn Botkins.

Kisah Wuornos adalah contoh betapa pentingnya perhatian dan kasih-sayang ahli keluarga dan orang sekeliling terhadap kanak-kanak. Telah banyak contoh kanak-kanak yang didera secara mental dan fizikal menjadi penjenayah seperti John Wayne Gacy, Charles Manson, Albert Fish dan Henry Lee Lucas. Bak kata pepatah dari benua Afrika, "the child who is not embraced by the village will burn it down to feel its warmth." Perjalanan hidup Wuornos adalah menyedihkan dan tragis. Sejak kecil, dia tidak pernah merasakan kasih-sayang yang sebenar. Dia diperguna oleh orang di sekelilingnya sehingga tiada siapa yang boleh dipercayai. Cabaran untuk hidup menyebabkan dia perlu menjadi kasar dan passive-aggressive untuk melindungi diri.

Kisah Aileen Wuornos diabadikan dalam filem-filem seperti Overkill dan Monster, serta dinukilkan dalam buku berjudul Dear Dawn: Aileen Wuornos In Her Own Words dan Monster: My Own Story.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-12-2024 03:28 AM GMT+8 , Processed in 0.348041 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list