LANGKAWI: Tiga sahabat termasuk seorang wanita yang juga anggota kumpulan pemuzik jalanan atau 'buskers' ditahan kerana memiliki ganja di sini, awal pagi tadi.
Ketiga-tiga mereka berusia antara 24 dan 26 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi, jam 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata semua suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu di sini.
"Dalam serbuan itu, polis menemui 17 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja seberat 178.14 gram (g).
"Turut dijumpai tiga pasu ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ganja yang dirampas susulan tangkapan tiga anggota ‘buskers’ berkaitan kes dadah di Langkawi. - Foto ihsan polis.
Shariman berkata, polis turut merampas peralatan menghisap ganja dan alat timbangan digital di atas lantai ruang tamu tempat ketiga-tiga suspek berada.
"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).
"Mereka kini ditahan reman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39A(2), selain Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.