|
Halal dan berkat
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dalam kamus al-Mu'jam al-Wasith, halal bermaksud dibenarkan manakala dalam konteks syarak, dibenarkan oleh syariat Islam. Manakala maksud barakah ialah bercambah dan bertambah. Mencari yang halal itu suatu perintah daripada Allah.
Dalam soal halal dan barakah, ia dapat dilihat menerusi firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke 88, maksudnya: "Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman."Selepas Allah SWT memerintah manusia untuk mencari rezeki yang halal, Allah menutup ayat tersebut dengan perintah yang kedua iaitu perintah supaya bertakwa kepada-Nya.
Ini bermaksud bagi orang yang beriman, selain soal halal dan haram, takwa turut menjadi keutamaan. Ketakwaan dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Apabila adanya takwa, maka natijahnya yang dapat dilihat seperti kehidupan yang selamat dan selesa. Manakala dari sudut yang tidak dapat kita lihat sudah tentulah akan menatijahkan pahala dan keredaan-Nya.
Bertepatan dengan hadis Nabi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang Mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Dia berfirman: "Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh."
Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu." Jika merasakan sesuatu yang sedikit tetapi halal itu sudah mencukupi, ketahuilah di situlah keberkatannya. Hal ini disebabkan apabila sesuatu yang banyak tetapi tidak halal dirasakan seperti tidak cukup. Itulah tanda tiada keberkatan padanya. Kuncinya ketakwaan dalam mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ingin hidup diberkati, cari yang halal dan jadilah orang yang bertakwa.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2022/08/872061/halal-dan-berkat
|
|
|
|
|
|
|
| |
|