Georgetown: Tindakan peniaga nasi ayam membeli juadah itu di kedai bukan Islam sebelum menjualnya kepada pelanggan Muslim di Sungai Ara di sini dan kejadian itu kini tular di media sosial, membimbangkan.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang supaya menyiasat mengenai tindakan itu.
Menurutnya, jika ia didapati benar, pelaku terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah bagi diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
"Tindakan itu tidak wajar dan dianggap menipu masyarakat yang bersangka baik kepada peniaga beragama Islam. Pelanggan beragama Islam menyangka ayam itu sudah disembelih mengikut kaedah hukum syarak serta halal dimakan namun, rupa-rupanya diambil dari kedai orang bukan Islam dan besar kemungkinan tidak halal.
"Perkara ini amat menyedihkan kerana menunjukkan bahawa ada dalam kalangan masyarakat Islam hari ini sudah tidak mempedulikan lagi hukum yang ditetapkan agama," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Wan Salim berkata, perbuatan sedemikian adalah berdosa menyebabkan masyarakat Islam memakan ayam yang tidak halal kerana sudah menjadi bangkai.
"Ini bertentangan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang mewajibkan umat Islam makan makanan halal dan memakan bangkai diharamkan menurut nas Quran," katanya.
Terdahulu, tular video mengenai tindakan dua lelaki Melayu yang datang ke sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong di sini, bagi mengambil pesanan nasi ayam dan dipercayai bagi dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dan ada yang mendakwa pernah membeli juadah itu di gerai mereka.