|
ALOR SETAR – Kerajaan negeri memaklumkan tidak tahu mengenai permohonan menukar tanaman pokok getah jenis Timber Latex Clone (TLC) kepada penanaman durian Musang King pada Jun lalu seperti didedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kelmarin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, durian musang king bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai tujuh spesies yang dibenarkan dalam penanaman ladang hutan.
“Saya tidak tahu (permohonan tukar tanaman pada Jun) kerana dari awal kalau masih ingat Julai 2020 saya sudah katakan setahu saya ada tujuh spesies yang dibenarkan ladang hutan, durian tidak masuk.
“Kemudian itu diberitahu dibenarkan 20 peratus, kalau nak tanam semua kena mohon. Lulus tak lulus saya tidak tahu dan kalau dia baru mohon kemungkinan tidak lulus, kemungkinan lulus,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini petang tadi.
Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memohon kepada JAS terlebih dahulu bahawa ada perubahan komponen tanaman untuk menukar tanaman TLC kepada durian musang king yang mana permohonan itu hanya diterima pada Jun lalu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menyelar tindakan pelbagai pihak yang tidak mahu menerima laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang dianggotai ratusan pakar tanpa sebarang kepentingan.
“Saya sejak awal tak mahu komen walaupun diprovok berkali-kali dan diheret oleh para inilah (media) nak suruh saya hentam orang itu, hentam orang ini. Saya kata tunggu pakar beri pandangan.
“Selepas jawatan kuasa itu keluarkan laporan fakta dan angka saintifik pun tidak mahu terima juga kerana orang ramai telah diheret untuk pergi kepada satu sudut sahaja. Ini tidak adil yang mana orang ramai perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup.
“Ilmu yang benar, perspektif yang betul dengan fakta dan kajian yang munasabah telah dikeluarkan tetapi orang tidak mahu terima kenapa,” katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, sebagai kerajaan beliau tidak boleh bersikap demikian walaupun tidak suka dengan tanaman musang king di puncak Gunung Inas yang memiliki kelulusan.
“Dia ada kelulusan, kebenaran dan lalui proses itu semua (tetapi) bukanlah zaman saya. Tiba-tiba kita diheret untuk hentam dia. Dia boleh saman kita, jadi kalau suka kerajaan negeri disaman, provoklah lagi. Saya tidak mahu,” katanya.
Ketika mengulas kenyataan JAS bahawa kelulusan EIA bukan untuk tanaman musang king, Muhammad Sanusi turut bersetuju dengan perkara itu dan hairan bagaimana ia boleh diteruskan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Masa jadi kerajaan mula-mula saya sudah kata. (Musang king) tidak termasuk dalam spesies dibenarkan. Saya hairan kenapa ditanam, maka saya arah dihentikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri tidak akan menanam semula pokok di kawasan Gunung Inas yang digondol dan rosak akibat tragedi kepala air pada 4 Julai lalu kerana pokok hutan akan tumbuh secara semula jadi dan kembali menjadi hutan selepas 30 tahun.
“Pokok hutan itu akan tumbuh sendiri, semua hutan di Kedah ini tidak ada siapa bawa benih pergi tanam, semua Allah yang tumbuhkan, jadi nak pulih macam mana hutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2022/08 ... kepada-musang-king/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|