Alor Setar: Aksi berani graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memakai jubah konvokesyen ketika mencuba aktiviti 'Dropzone' di Menara Alor Setar, di sini mencuri tumpuan pengunjung.
Graduan Perancangan Bandar dan Wilayah, Zulhusni Aminudin, 25, dipasangkan abah-abah keselamatan sebelum tergantung pada ketinggian 100 meter (m) menara berkenaan.
Katanya, dia mahu merakam gambar kenangan sempena konvokesyennya dengan cara unik dan menguji keberanian dalam aktiviti ekstrem yang pertama di Malaysia itu.
Zulhusni bakal menghadiri upacara konvokesyennya minggu depan.
"Ini pengalaman pertama saya tergantung pada ketinggian 100 m dan mulanya ada perasaan gementar, namun dengan bantuan kru, perasaan takut itu berjaya diatasi," katanya ketika ditemui.
Menara Alor Setar melancarkan aktiviti ekstrem 'Dropzone & Snap-sky' sebagai produk baharu tarikan pengunjung ke negeri jelapang padi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar berkata, aktiviti berkenaan bermula sejak April lalu dan 120 orang daripada 150 orang yang disasarkan sudah menyahut cabaran.
Katanya, peserta diselia kru berpengalaman dan mempunyai tauliah daripada Pretty World Resources Sdn Bhd dan Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK).
"Aktiviti Dropzone membolehkan peserta tergantung pada ketinggian 100 m menara dan bergambar pada ketinggian 60 meter, sebelum diturunkan pada ketinggian 45 meter (penamat).
"Manakala Snap-sky pula, peserta boleh berjalan di atas platform sepanjang 20 meter dengan mengenakan abah-abah keselamatan untuk beri peluang peserta melihat keindahan sebahagian bandar raya dan merakam gambar kenangan," katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Dropzone & Snap-sky Menara Alor Setar.