|
Azizul menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Firdaus di Kampung Sentiasa, Cahaya Baru, Masai di sini. FOTO ihsan Pejabat Adun.
Pasir Gudang: "Kami bersyukur dan terharu apabila menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada insan berhati murni tanpa mengira bangsa dari seluruh negara," kata Mohamad Firdaus Omar.
Mohamad Firdaus, 34, berkata, dia tidak menjangka sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna dan meriah apabila ramai yang berkongsi rezeki dengan keluarganya.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada orang ramai dari Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Pahang selain Johor yang menyatakan hasrat mahu membantunya dan keluarga.
Katanya, dia dan keluarganya bersyukur apabila ada dalam kalangan mereka juga sanggup berkunjung ke rumahnya semata-mata bagi memberi sokongan moral serta melihat keadaan sebenar.
"Alhamdulillah, kami menggunakan sebahagian wang untuk membeli bekalan susu bagi anak untuk tempoh sebulan dan selebihnya kami akan gunakan bagi tujuan sama pada bulan depan.
"Malah kami juga akan menggunakan sumbangan barangan dapur seperti beras dan lampin pakai buang yang disalurkan dengan sebaik mungkin.
"Hanya Allah SWT saja yang dapat membalas jasa anda semua. Kami bersyukur dengan segala sumbangan serta keprihatinan anda," katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram Azizul Bachok semalam.
Sementara itu, Azizul berkata, Mohamad Firdaus tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatannya manakala isterinya, Nurul Syazwani Abdul Raop, 29, terpaksa memberi penjagaan kepadanya serta mengurus anak kecil di rumah.
Menurutnya, pihaknya menasihati Mohamad Firdaus supaya menjalani rawatan dan mengambil ubat seperti dinasihatkan doktor.
"Dia perlu kuatkan semangat untuk melawan sakit dan menjalani rawatan serta mengambil ubat dibekalkan hospital bagi mempercepatkan proses penyembuhan.
"Permasalahan dialaminya juga sudah disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi tindakan lanjut," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan, Nurul Syazwani mengakui kerap memberikan tiga anak kecilnya yang berusia setahun hingga lima tahun minum air sirap bagi menggantikan susu tepung.
Nurul Syazwani terpaksa memberikan air sirap ketika kehabisan bekalan susu tepung supaya anak-anaknya tidak menangis kelaparan.
Anak mereka yang masih menyusu ialah Nurain Mardhiyah, 5; Nur Fateen Atikah, 3 dan Mohamad Khairul Haikal, setahun, manakala dua lagi ialah Muhammad Mishari, 8, serta Mohamad Syafiq, 7.
Mohamad Firdaus hilang upaya untuk bekerja sejak setahun lalu kerana menghidap masalah jangkitan kuman di paru-paru, ketumbuhan di buah pinggang, asma dan gout kronik.
Keluarga berkenaan tinggal di rumah sewa di 152 A, Jalan Persiaran 2, Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Masai di sini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mai-hulur-sumbangan |
|