|
Harga makanan yang tinggi membebankan pelajar. - Foto hiasan NSTP/HAZREEN MOHAMAD
BATU PAHAT: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) menyediakan dana RM2 juta untuk membantu pelajar menangani kenaikan harga makanan.
Naib Canselornya, Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim, berkata universiti membantu meringankan beban pelajar melalui beberapa bantuan di bawah Kluster UTHM Prihatin.
Beliau berkata, antara bantuan yang disediakan ialah Program Sabil Al-Hikmah, Program Food@Campus, Food Bank Siswa di setiap kolej kediaman, program nasi bajet, bantuan zakat, bantuan Dana Ihsan, serta pelan data dan alat peranti.
"Sehingga Jun lalu, universiti membelanjakan melebihi RM1 juta khusus kepada pelajar berkeperluan.
"Dengan pemberian bantuan itu, UTHM berharap dapat meringankan beban sara hidup pelajar, sepanjang pengajian mereka di kampus," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ruzairi berkata, seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi, UTHM bersetuju melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus.
"Langkah ini supaya tanggungan kos boleh membantu menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.
"Pelajar juga boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan kolej kediaman untuk mendapatkan maklumat bantuan yang disediakan oleh universiti.
"Bagi pelajar yang terkesan dan memerlukan khidmat kaunseling, boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui Pegawai Psikologi UTHM di Pusat Kaunseling universiti," katanya.
Universiti menyediakan bank makanan untuk pelajar. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
https://www.bharian.com.my/berit ... -bantu-pelajar-uthm |
|