|
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi ketika beraksi pada Terbuka Indonesia minggu lalu. - Foto ihsan FB BAM.
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan mengecewakan peminat tempatan apabila turun beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil di sini, pada 28 Jun hingga 3 Julai ini.
Dengan tiket perlawanan untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final dilaporkan sudah habis terjual, pasangan nombor enam dunia itu menjanjikan prestasi terbaik bagi mengakhiri kemarau kejuaraan yang menghantui mereka di pentas antarabangsa sebelum ini.
Aaron berkata semangat mereka untuk mengakhiri penantian bagi bergelar juara semakin membara selepas mengetahui bakal mendapat sokongan padu daripada peminat tempatan yang akan membanjiri Arena Axiata.
"Sudah pasti setiap kejohanan yang disertai, kami mahu jadi juara. Kali ini (di Terbuka Malaysia), kami akan cuba lagi, kami sedar ia bukan mudah tetapi saya percaya dengan sokongan peminat, ia akan menjadi pembakar semangat untuk kami berdua.
"Sudah dua tahun tiada kejohanan besar di Malaysia dengan kali terakhir adalah BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari lalu) tetapi itu pun tidak ramai sangat orang. Jadi, ini adalah pentas terbaik untuk kami dan kami tidak mahu mengecewakan peminat ," katanya.
Sejak digandingkan pada 2017, pencapaian terbaik kedua-dua pemain itu setakat ini adalah lapan kali muncul naib juara termasuklah pada saingan Kejohanan Badminton Asia, bulan lalu, Terbuka Thailand 2020 dan Seluruh England 2019.
Selepas tewas di separuh akhir Terbuka Indonesia, Sabtu lalu, Aaron berkata mereka sedar ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan berharap tidak mengulangi kesilapan sama di Terbuka Malaysia kali ini.
"Jurulatih (Rexy Mainaky) beritahu yang kami perlu sentiasa dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan. Sebelum ini, apabila sampai separuh akhir atau final, disebabkan terlalu banyak berfikir(untuk menjadi juara), kami hilang fokus di dalam gelanggang.
"Faktor itu sekali gus menjejaskan permainan kami dan membuat kami tewas dalam perlawanan. Kami harap kami boleh kekal fokus dalam setiap perlawanan di Terbuka Malaysia nanti," katanya.
Misi Aaron-Wooi Yik bagi menamatkan kemarau kejuaraan di Terbuka Malaysia bagaimanapun berdepan laluan getir apabila beberapa pasangan utama dunia berada di laluan untuk merealisasikan matlamat berkenaan termasuk beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), He Ji Ting-Zhou Hou Dong (China), Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia) dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark).
Pasangan negara itu akan membuka tirai saingan menentang beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito pada aksi pusingan pertama.
https://www.bharian.com.my/sukan ... kecewakan-penyokong |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|